
Hari berganti hari, masa berganti masa, detik waktu sentiasa mengalir berterusan. Dari suatu masa dahulu sehingga kini, telah membawa kepada perubahan zaman. Seiring dengan perubahan zaman, terlalu banyak faktor yang telah mencorakkan landskap ekonomi dunia. Begitu ramai di kalangan kita yang terkesan dengan perubahan ekonomi yang mendadak ketika ini. Saya sendiri turut merasainya. Saya juga melalui kesempitan dan kesulitan dalam menempuh cabaran ekonomi yang tidak menentu ini.
Kenapa? Apakah sebenarnya? Ya, saya percaya ramai dalam kalangan kita bersetuju bahawa isu utamanya adalah berkaitan ‘wang’. Mana tidaknya, kebanyakan urusan seharian kita melibatkan wang. Kalau cukup wang perbelanjaan tersebut, syukurlah. Cuma, masalah yang timbul adalah kerana wang tersebut tidak mencukupi.
Sungguh pun kita menyedari bahawa wang bukanlah segala- galanya. Tapi segala apa yang bakal kita lakukan kebanyakannya memerlukan wang. Begitulah ungkapan yang sering kita dengar berkaitan wang.
Pada zaman ekonomi yang kian meruncing ini, berlaku kenaikan harga yang melebihi paras yang sepatutnya. Kenaikan harga ini didorong oleh faktor-faktor tertentu.
Seingat saya, semasa belajar dahulu, secara asasnya, ia membabitkan penawaran dan permintaan. Jika permintaan tinggi, penawaran kurang, maka harga boleh meningkat. Selain itu, ia juga melibatkan faktor-faktor lain yang berkaitan seperti kenaikan kos bahan api, logistik. Juga kos sara hidup yang tinggi pada pelbagai peringkat yang membuatkan peniaga terpaksa menaikkan harga jualan.
Kenaikan harga ini menyebabkan kuasa membeli juga hilang. Ia boleh menyebabkan aliran tunai mula tersekat disebabkan pembeli-pembeli sudah mula berjimat. Maka masing- masing mula hilang manfaat disebabkan aliran tunai terhenti.
Jualan tidak laku, apa lagi mendapat untung lumayan. Setidaknya dengan rezeki keuntungan ini dapat juga peniaga-peniaga menggerakkan dan merancakkan lagi rantaian ekonomi. Sedekah, zakat, cukai juga akan berjalan lancar sekiranya aliran tunai terus berlaku.
Kita selaku pembeli juga boleh dapat manfaat dari item yang kita beli. Boleh juga hidupkan aktiviti bermanfaat untuk diri, keluarga, dan masyarakat. Namun disebabkan keadaan aliran tunai yang terganggu begini, keadaan ekonomi bertambah tenat. Kesannya, berbalik kepada kita.
Ya… Itulah namanya inflasi.
Keadaan ini membuat kita bertambah bingung. Sedih, pilu, resah, bimbang, lemah seperti tidak berdaya. Seringkali kita termenung memikirkan cara, bagaimana untuk merawat kewangan kita yang sedang parah ini. Setiap hari kita memujuk hati untuk terus kuat. Ada ketikanya kita menangis seolah-olah kita sudah tewas.
Kadang-kadang kita berfikir, bilakah agaknya kehidupan ini akan stabil…. Hutang masih banyak. Anak sedang membesar, jauh di sudut hati, kita ingin beri yang terbaik. Keperluan keluarga perlu dijaga. Sesekali, ingin juga hiburkan hati mereka merawat jiwa. Bukanlah untuk diri sendiri yang difikirkan dahulu, anak isteri perlu gembira, barulah kita. Tidak kira lelaki mahu pun wanita, jika melibatkan tanggungjawab kita, maka perlu kita jaga. Sedang usia kita meningkat tua.
Sahabat sekalian…
Dalam situasi yang mencabar ini, ketika mengharungi badai inflasi, marilah bersama-sama kita menyokong antara satu sama lain. Janganlah berputus asa, hindarilah was-was yang meragukan diri kita. Jika ada di antara kita di luar sana yang terkesan dengan situasi sekarang, saya juga menghadapi perkara yang sama sama. Saya juga turut terkesan.
Saya menulis artikel ini adalah untuk menyampaikan sedikit coretan perkongsian, apa yang saya lakukan dalam meneruskan kehidupan, dalam mensyukuri nikmat yang diberikan tuhan.
Seni Rahsia Membina Tenang Ketika Badai Inflasi — Seni mengawal diri

Saya timbulkan suatu persoalan kepada kita semua. Apakah yang kita akan buat jika berdepan dengan suatu masalah? Kita mahukan masalah tersebut hilang sekelip mata. Jadi, apa tindakan terbaik yang boleh kita ambil? Adakah kita boleh biarkan masalah tersebut berlalu pergi? Atau kita mengelak dari berdepan dengannya? Tanya diri kita, dan beri jawapan yang jujur kepada diri sendiri.
Setelah kita menjawab persoalan tadi, kita mula kenal diri kita. Walau apa pun jawapannya, itulah diri kita. Tujuan kita adalah untuk menilai diri sendiri. Kemudian kita akan membuat penambahbaikan secara kendiri. Ini kerana kita mampu mengawal diri sendiri dengan baik.
Persiapkan diri dengan mentaliti seorang ‘kapten’ di mana kita akan mula mengawal apa yang boleh kita kawal dengan baik. Ayuh, bangkitkan semangat seorang pejuang supaya kita tidak mahu mengalah dan berputus asa. Hentikan perasaan putus asa serta merta. Jadikan disiplin sebagai perisai untuk pertahankan ketetapan yang bakal anda lakukan.
Jadikan kebijaksaan kita sebagai senjata. Tidak perlu terlalu hebat atau canggih. Jika ia tajam, berbisa dan berguna sebagai senjata, genggamlah ia. Gunakan selalu dan tajamkan selalu. Itulah senjata akal kebijaksanaan. Tidak perlu fikirkan yang rumit, cukup sekadar logik dan relevan. Jika ditambah dengan sedikit kreativiti, itu adalah bonus.
Sahabat sekalian,
Hakikat sebenarnya adalah kita tidak boleh melarikan diri ketika kita berhadapan dengan masalah. Dalam konteks ini, masalahnya adalah kita terpaksa menempuh badai inflasi yang sangat menduga. Terlalu besar gelombangnya bagi sesetengah pihak.
Maka, dengan berbekalkan persiapan tadi, marilah kita menghadapi masalah ini dengan mentaliti dan mindset yang betul. Inilah ilmu persilatan dan helah bela diri yang kita ada. Di sini saya kongsikan tips-tips yang boleh diamalkan supaya kita sentiasa tenang menghadapi badai inflasi.
1. Buat yang perlu dahulu
Jangan cari full spec yang melebihi had penggunaan. Sentiasa gunakan kebijaksanaan anda untuk menilai sesuatu berdasarkan keperluan.
2. Bijak berbelanja
Hentikan dahulu langganan yang membebankan. Kadang-kadang, kita masih membuat langganan disebabkan kita merasa sayang dan perasaan tidak mahu lepaskan sedangkan ia tidak digunakan. Jangan takut, hentikan dahulu buat sementara waktu jika anda masih inginkan. Boleh cuba dapatkan langganan tersebut selepas setahun atau ketika mula stabil.
3. Jangan tambah beban kerana kita sedang terbeban
Jangan suka berhutang. Ini boleh membela keinginan.
4. Utamakan yang perlu diutamakan dahulu supaya masa tidak sempit
Jangan sempitkan ruang waktu anda. Pastikan kita menjaga kelapangan yang kita ada sebelum sempit. Jika kita buat sesuatu yang bukan keutamaan, ia akan memakan masa anda. Masa tersebut akan terisi dengan sesuatu yang tidak berkualiti. Hanya akan menambah stress dan menggugat hati dan mental anda dalam diam.
5. Kurangkan mengeluh
Jangan biasakan tabiat mengeluh, merungut. Cakap yang positif sahaja, cukup sekadar membaiki pertuturan kita. Daripada melakukan perkara mengeluh dan merungut, lebih baik baiki pertuturan dan cakap yang lebih baik. Kita ingin membina, bukannya terbina akibat dipengaruhi sesuatu. Sebab kita kapten yang kuat semangat, bukannya mangsa keadaan. Ingat, percakapan positif ini muncul dari minda positif dan optimis. Bukannya berlebih-lebih untuk menipu diri kononnya beri semangat. Itu boleh memberi harapan palsu untuk diri.
6. Berhenti sejenak, lihat apa yang perlu dahulu
Kawal kehendak. Jika inginkan sesuatu, dengarlah bisikan hati, gerak hati yang baik akan mula mengingatkan. “Nak beli baru? Yang lama masih boleh digunakan lagi…Kita sudah ada benda ni, cukuplah…” .Sekurang-kurangnya, barangan yang kita ada boleh digunakan lagi 2-3 tahun akan datang. Smartphone, jam tangan, langsir, peralatan elektrik, kenderaan, bahkan baju raya sekali pun serta macam-macam lagi. Kebanyakannya masih boleh kita guna. Sampai masa, tidak salah untuk kita tukarkan yang baharu. Buat masa ni, kita perlu mengawal dahulu kehendak. 2-3 tahun adalah tempoh masa untuk kita ‘freeze’ seketika, perbaiki dahulu apa yang patut.
7. Sediakan buffer 2-3 tahun jika berkemampuan atau ada wang simpanan
Tetapkan 1 bulan kita boleh tarik dari wang ini sebanyak RM500-RM1000 sebulan jika perlu. Ini boleh mengurangkan stress dan kelangsungan gaya hidup yang minima. Dalam berjimat dengan bajet ketat, terkadang boleh berlaku kebocoran dalam perbelanjaan. Ketika ini wang buffer ini boleh menjadi senjata rahsia kita. Jadi, gunalah ia sebaik mungkin. Guna jika perlu.
8. Capital kena jaga
Simpan cash sebanyak mungkin berbanding melangsaikan hutang yang marginnya kecil. Bebas dari hutang sangat baik, namun dalam keadaan kita yang tengah menyusun bajet ketat, kita terpaksa membayar hutang setiap bulan sedikit demi sedikit. Hutang itu sendiri adalah antara tools yang berguna jika kita bijak mengendalikannya. Dalam konteks ini, sebagai contoh, jika kita memliki simpanan atau modal sebanyak RM 20K, hutang peribadi pula yang masih berbaki. Anda pilih yang mana? Sama ada untuk melangsaikannya sehingga habis simpanan tersebut atau bayar sahaja seperti biasa? Saya akan memilih untuk simpan cash jika melangsaikan hutang itu hanya memberi pulangan kecil misalnya RM 200 lebih sahaja setiap bulan. Dalam masa yang sama, usahakan untuk tidak sewenang-wenangnya menyentuh simpanan tersebut melainkan perlu dan gunakan dengan had yang telah ditetapkan setiap bulan. Seperti buffer 2-3 tahun yang saya nyatakan tadi, jika setiap bulan dihadkan RM 500, anda boleh mengunakannya selama 40 bulan. Ingat, ia untuk keperluan dan sedikit lebihan untuk membeli jiwa agar anda tidak stress.
9. Beli barangan murah, tapi berkualiti
Dalam mengekalkan gaya hidup, terkadang kita perlukan sesuatu yang berkualiti. Namun pada kali ini, kita perlu lebih selektif, kita bukan lagi bergantung kepada jenama yang memang menjanjikan kualiti. Tetapi, kita perlu memilih yang berkualiti walaupun tidak terkenal atau sehebat brand lain. Jangan pandang rendah kepada harganya murah, kadang kualitinya melebihi harga yang kita bayar. Secara tidak langsung kita telah mendapatkan sesuatu yang ‘underrated’. Ini sangat menguntungkan sebenarnya. Mungkin kali ini, kita akan berbelanja mendapatkan sesuatu yang boleh dikatakan berbaloi dan tahan lasak untuk digunakan dalam tempoh 1-2 tahun ini. Biasanya, mungkin kita akan mendapatkan yang betul-betul memberi kepuasan hati, dengan ketahanan yang lama. Ya lah, jenama pun hebat, harga juga hebat. Jadi, kali ini, kita dapatkan dahulu yang lebih murah. Di samping menikmati ketahanannya yang bersesuaian dengan harga, kita juga dapat mengalihkan lebihan bajet tadi kepada perkara lain yang lebih perlu.
10. Jaga kenderaan sedia ada dahulu
Kenderaan adalah suatu keperluan. Kenderaan yang selesa dapat mempengaruhi kehidupan. Jika kenderaan bermasalah, ia juga boleh mempengaruhi kehidupan yang kita jalani. Disebabkan itu, kita cenderung untuk mendapatkan kenderaan baharu. Tidak dinafikan, saya juga selalu angankan dan teringin untuk memiliki kenderaan baharu yang lebih selesa. Terlintas saja depan mata, mulalah berfikir membuat kira-kira. Namun, sebenarnya ia lebih kepada kepuasan hati. Setiap kali saya menyedari akan hal itu, saya tetapkan hati, bahawa itu hanyalah sekadar angan- angan kosong. Belum masanya lagi. Jadi, saya mengambil inisiatif untuk menjaga kenderaan dengan baik. Bukanlah terlalu fokus menjaga sehingga berlebih-lebih kerana bimbang akan menjadi penyakit hati. Cuma sekadar menjaga sesuai dengan kegunaannya. Jika kotor, saya basuh, jika perlu servis, saya hantar ke bengkel. Dengan disiplin yang berterusan, saya dapati kadang- kadang masih ada yang menegur, “kereta barukah ini?”, “pandai kau jaga kereta ya”, walaupun kereta sudah bertahun-tahun saya guna. Ada calarnya, namun masih lagi cantik dan selesa.
11. Gunakan motosikal, jimat kos bahan api
Dalam situasi yang mencabar ini, harga bahan api boleh meningkat dengan tidak menentu. Mahu tidak mahu, kita terpaksa menanggung kos bahan api yang perlu kita guna. Jadi, untuk penjimatan yang berkesan, kita perlukan kenderaan yang mampu memberi kita pulangan penjimatan bahan api. Ya, dengan motosikal kita dapat menjimatkan perbelanjaan kita untuk membayar harga bahan api. Ada yang cakap, ia tak sama dengan kereta. Kalau guna kereta, kita lebih selesa, sejuk, ada aircond, tak kena hujan, pergi mana- mana pun rasa selamat. Betullah, ia juga datang dengan harga yang perlu kita bayar untuk mendapatkan semua keselesaan tersebut. Pada mulanya, saya juga begitu. Saya fikir, bolehkah saya terus menggunakan motosikal setiap hari? Bukan sepanjang seminggu saja atau pun sebulan. Bukan juga untuk setahun. Tetapi dalam jangka masa yang lama, bertahun- tahun saya perlu menghadap jalan raya dengan motosikal. Akhirnya, saya nekad, untuk menggunakan motosikal. Banyak kelebihan lain yang saya dapat dengan motosikal. Selain menjimatkan wang, masa saya juga tidak tebuang lama di jalan raya sehinggakan rasa sayang dengan masa mula muncul. Ia membuatkan hidup saya lebih positif dan bermakna. Daripada menghabiskan hampir 30-40 minit di jalanan, saya lebih suka mengunggang motosikal yang memerlukan hanya 15 minit dan ke bawah. Selain itu, ia membuatkan kita lebih berjiwa kental. Ia juga mendidik hati untuk terus ‘humble’. Kadang- kadang kita terpaksa menghadap hujan. Ada kalanya panas. Namun, hati tetap sabar dan redha. Sekarang, hampir 7 tahun sudah saya menggunakan motosikal dalam menguruskan banyak hal dalam kehidupan seharian. Cuma, kita perlu lebih berhati-hati, kadang-kadang kita terpengaruh dengan circle baru di mana zaman sekarang kebanyakannya sukakan aktiviti ride dengan motosikal masing-masing. Bukan tak boleh, cuma keutamaan kita sekarang adalah untuk berjimat dan kekal tenang dalam cabaran inflasi. Sekiranya mampu mengawal diri dan tidak perlu kos yang banyak, silakan. Ia juga boleh jadi hobi yang baik untuk merawat jiwa dan menjalinkan persahabatan.
12. Bina lifestyle yang positif dan sihat
Dalam membentuk gaya hidup yang lebih positif dan sihat, kita perlu lebih memberikan fokus kepada tujuan dan matlamat hidup. Kenal pasti hakikat diri dan keperluan sebenarnya. kembali kepada fitrah. Kita akan nampak tujuan dan matlamat hidup. Maka tindakan kita akan lebih terbimbing sekaligus kita dapat minimumkan perkara sia-sia. Tindakan ini agak berat jika kita terus bertindak secara mendadak. Ia boleh membebankan dan menyebabkan kita berhenti di pertengahan jalan. Jadi, apa yang saya lakukan adalah dengan mula mengatur hidup seharian agar lebih ringan dan banyak ruang. Saya berhenti mengejar, kemudian saya utamakan perkara yang perlu diutamakan kerana itu sebahagian daripada seni menyusun dalam kehidupan. Jika kita ingin mengisi sebuah beg untuk travel ke mana- mana, kita akan menyusun sebaik mungkin agar barang yang perlu dapat dimuatkan. Apatah lagi jika ia melibatkan hidup kita. Jadi, setelah susunan dan aturan dibuat, kita akan mula merasakan ketenangan. Tekanan dalam mengejar banyak hal sudah mula berkurang, sedikit sebanyak mempengaruhi tingkah laku ahli keluarga. Bahkan seisi keluarga lebih terbimbing dan terarah mengikut haluan arah kita. Itulah aura positif yang sedang terbina. Dengan melaksanakan apa yang perlu, maka kita sedang mencorakkan sesuatu yang membawa manfaat. Dari situ terbentuklah hati dan minda yang inginkan kebaikan dan kesejahteraan. Maka, gaya hidup kita seharian akan dipengaruhi dengan amalan dan tindakan yang sentiasa mengamalkan sesuatu yang positif dan sihat.
13. Tambah ilmu kewangan
Sepanjang melalui cabaran berliku, buatlah sedikit tindakan yang boleh memberi manfaat kepada kita pada kemudian hari, iaitu pencarian ilmu. Ilmu amat penting kepada kita, jika ia memberi manfaat, itu lebih bagus. Apa lagi untuk diwarisi ke anak cucu. Dalam keadaan yang mencabar ini, setidaknya tambah ilmu kewangan. banyak saluran yang memberi tips-tips kewangan yang boleh kita amalkan. Tapi perlu berhati-hati juga, ada sesetengah saluran hanya memberi gambaran palsu yang menjentik emosi. Tersentuhnya emosi ini boleh membuatkan kita terperangkap. Sebab itulah masih ramai yang terjerat dengan skim cepat kaya. Kawal emosi anda. Tujuan kita adalah untuk menambah ilmu kewangan. Ambillah yang asas terlebih dahulu. Ia boleh mengingatkan kita seperti cara berbelanja, bagaimana untuk menyimpan, motivasi untuk terus menyimpan, cashflow, dan sebagainya yang boleh kita belajar.
14. Partime – Untung kecil yang membantu
Ini juga antara perkara yang saya lakukan. Seperti yang saya beritahu, saya sudah berhenti mengejar, dan tidak menambah tugasan yang membebankan hidup. Jadi, bagaimana pula dengan part time ini? Bukankah ia memerlukan tenaga dan komitmen? Apabila saya mengenal matlamat sebenar, saya tidak mahu lagi menghabiskan masa saya. Kenapa? Kerana masa lebih berharga dari duit. Maka, saya mencari jalan untuk minimumkan part time yang mengganggu masa saya. Maka, di sinilah saya manfaatkan aktiviti seperti menjadi pemandu Grab. Saya hanya keluar apabila ada masa lapang. Sasaran saya tidak besar, 2-3 kali penghantaran, saya sudah boleh pulang. Cukuplah hasil untung yang kecil, tapi membantu. Contohnya, untung bersih RM20-30 sehari. Ia sangat bermakna. Selain itu, saya pernah menjual di platform e-commerce. Ini juga sangat membantu. Side income yang kadang-kadang ia boleh menjadi passive income. Ya lah, setup sekali, dapat guna berkali-kali. Jangan salah faham dengan passive income ya, ia tak bermaksud saya jana income dengan hanya goyang kaki sahaja. Tidak, passive income sebenarnya berkonsepkan kerja yang minimum, tapi boleh menjana kewangan sehingga ke tahap maksimum jika kena caranya. Kita masih perlu bertindak. Cuma cara kerja menjadi semakin ringan, dan ia bergerak 24 jam sehari walaupun kita sedang tidur. Pernah suatu masa, setup itu menjadi, income yang saya dapat sangat lumayan, bahkan dibayar dalam matawang USD. Itulah namanya rezeki. Patut untuk kita syukuri. Apa yang saya ingin sampaikan adalah, mindset kita perlu betul. Bertindak bijak dengan kadar tenaga dan masa yang minimum. Hasilnya juga tidak perlu banyak, cukup sekadar dapat menampung sebahagian dari perbelanjaan harian. Yang penting kita konsisten dan dapat terus berusaha. Agar diizin tuhan, kita diberi rezeki. Ada kalanya, kita mendapat rezeki yang mencurah-curah apabila tiba masanya.
15. Sokong antara satu sama lain
Sokongan amat penting bagi sesetengah orang. Sebenarnya, bagi sesetengah orang, mereka tidak perlukan nasihat mahu pun idea dari orang lain. Mereka juga tidak perlukan orang lain mengatur hidup mereka. Jika berdepan dengan jalan buntu atau halangan, mereka tidak perlu mencari bantuan sehingga bergantung hidup dengan orang lain. Cuma apa yang diperlukan adalah sokongan. Ya, sokongan adalah suatu bentuk bantuan dan pertolongan yang bermakna. Ia menggerakkan semangat dan jiwa. Sokongan merupakan suatu bentuk perkongsian tenaga yang positif yang tidak dapat dilihat dari mata kasar. Ia juga dapat menghubungkan silaturrahim antara kita. Alangkah baiknya jika kita selalu sokong antara satu sama lain. Lebih baik lagi jika kita memulakannya jika ia belum bermula. Namun harus ingat, jangan terlalu drastik dan tersalah sasaran. Ini boleh memakan diri. Tidak perlu kita sasarkan pada kelompok yang ramai. Untuk permulaan, cukup untuk bermula dalam kalangan ahli keluarga yang sudah tentu dekat di hati kita. Jika sudah menjadi kebiasaan, cari pula sahabat-sahabat yang layak untuk kita sokong. Sahabat yang mengingati kita, bukan mereka yang tidak tidak peduli langsung tentang kita. Tidak perlu mengejar, cuma perhatikan yang sekeliling kita. Ada sahabat yang baik akhlaknya, perlu kita jaga. Dengan sokongan yang kita hulurkan, kita sebenarnya sedang membina suatu ukhwah yang saling menyokong antara satu sama lain. Ia boleh membawa kepada komuniti atau circle yang positif. Saya percaya, anda semua akan sanggup untuk tinggalkan circle negatif yang merosakkan jiwa dan kehidupan. Maka, di sini kita bermula. Gelombang positif ini boleh terpantul kembali membawa kebaikan bersamanya. Disebabkan itu, hati kita sebenarnya mulai merasakan ketengan.
16. Latihan mengurangkan barang
Walaupun kita berada dalam situasi yang serba keperitan dan kesempitan. Hendak memiliki sesuatu pun agak sukar, apa lagi untuk melepaskan apa yang ada. Sebenarnya, apabila saya mengamalkan dan melatih diri untuk mengurangkan barang, saya dapati, ia membawa ketenangan dan kebahagiaan. Pernahkah anda perhatikan barangan dan perkakas rosak dalam rumah kita yang kita sayang hendak buang? Ya, banyak barang berguna, tapi, sebenarnya tidak terguna. Bila hendak buang, hati mula rasa sayang. Mulalah kita baiki. dan ambil apa yang kita rasakan berguna. Kemudian, kita simpan. Selepas seminggu, kita sudah tidak perasan tentang kewujudan barang tersebut. Pada mulanya kita simpan dengan baik, tapi hakikatnya, kita langsung tidak menjumpainya apabila tiba masa hendak digunakan. Sehinggalah kita mula mengemas rumah pada tahun seterusnya. Barulah kita sedar kembali, rupanya ia ada di sini. Apa yang saya buat untuk mengelakkan rasa tersebut datang berulang, saya terfikir untuk sedekahkan sahaja. Sekurang-kurangnya ia memberi manfaat. Contohnya pakaian. Saya cuba kurangkan pakaian. Begitu juga sesetengah barang seperti beg atau gift yang saya dapat atau sudah mula koyak. Selain itu, untuk barangan yang terlalu teruk kondisinya, saya tidak yakin untuk disedekahkan, maka saya memilih jalan untuk recycle. Bila hantar ke pusat recycle, mereka akan menimbang dan membuat bayaran kepada kita. Tidaklah banyak dan terlalu menguntungkan. Setidaknya ia menjadi satu budaya yang baik. Hasil dari barangan kitar semula tersebut, kita boleh gunakan atau sedekahkan kepada sesiapa yang kita mahu. Hal ini sekaligus membuatkan barangan berguna tadi membawa manfaat kepada semua yang memerlukan. Rumah semakin bersih, lapang, kebahagian turut terundang. Fikiran dan hati semakin senang, jiwa sentiasa tenang.
18. Jauhi sikap malas
Ini juga hal yang penting untuk kita laksanakan. Jauhi sikap malas. Sikap malas sentiasa datang menghampiri kita. Ia juga suatu penyakit yang merosakkan kehidupan kita. Bukan itu saja, keadaan sekeliling juga turut terkesan jika kita sudah dijangkiti penyakit malas. Bergeraklah, lawan musuh senyap ini dengan konsisten. Kita harus sentiasa berwaspada. Antara petua yang saya gunakan adalah dengan berfikir dan bertindak serta merta. Walaupun perkara itu besar untuk diselesaikan, saya tetap juga bergerak walaupun impaknya kecil. Selain itu, dengan berfikir, saya juga dapat mengekalkan produktiviti. Bukan saja dalam mencari wang sumber rezeki, saya dapat menyediakan tempat tinggal yang bersih dan selesa untuk keluarga, meringankan beban dan tugas dalam urusan kekeluargaan dengan melaksanakan apa yang mampu dilakukan. Kemas rumah, cuci pinggan, berkebun di kawasan rumah, dan macam- macam lagi. Kemudian, jaga waktu tidur. Bangun apabila tiba masa, jangan tidur pada waktu yang tidak sesuai. Bangun awal pagi, tunaikan yang wajib seperti solat subuh, kemudian jangan amalkan tidur selepas subuh. Ia boleh mengurangkan produktiviti kita. Kita boleh melakukan berbagai perkara selepas subuh. Bagi mereka yang bekerja, boleh buat pada waktu cuti. Ada juga yang mengatakan saya rajin. Sebenarnya, saya hanya menghindari sikap malas. Pernahkah anda lihat seseorang yang nampak rajin bagi kita? Seseorang yang sentiasa membersihkan rumah, mengemas, dan tersusun hidupnya. Dia menjaga kebersihan, sentiasa bergerak untuk selesaikan apa yang patut. Saya biasa melihat karakter sebegini. Mereka wujud dalam hidup kita, pernah ada di sekeliling kita. Dari zaman belajar, sehingga sekarang, saya masih terjumpa karakter begini. Sebenarnya mereka juga seperti kita. Jika kita merasakan yang diri kita agak malas, mereka pun begitu. Mereka tidak seperti yang kita jangka, mereka tidak juga fikir seperti “Wah, tak sabarnya nak mengemas!” Mereka juga tidak teruja untuk mencuci, menolong orang, memasak, dan sebagainya. Mereka juga rasa penat seperti kita. Namun, mereka pilih untuk bertindak. Mereka pilih sesuatu yang memberi manfaat. Dari situlah saya belajar, untuk menjadi seperti mereka. Malas adalah musuh senyap yang menghampiri. Sikap malas boleh mendatangkan kesan yang tidak baik kepada kita. Jadi, hindarilah ia dengan sebaiknya. Kesannya, saya mula merasakan ketenangan dan kelapangan. Wang yang sedikit tidak menggugat hati yang tenang, bahkan, dengan ketenangan ini saya sentiasa positif dan berusaha. Rasa syukur juga sentiasa hadir, membuatkan sentiasa merasa cukup.
19. Pupuk kasih sayang dalam keluarga terutama suami isteri
Kasih sayang dalam keluarga ada kalanya ia hadir dari awal tanpa kita sedari. Kadang-kadang ia tidak hadir disebabkan kita tidak menjemputnya. Ada juga keadaan kita sudah berusaha menjemput kasih sayang tersebut, namun ia belum juga hadir mengisi ruang dalam keluarga kita. Sebenarnya, jika kita sudah berusaha, teruskanlah dengan istiqamah, kerana ia sudah hadir secara perlahan-lahan mengikut tahap dan keadaan keluarga kita. Apa yang saya ingin sampaikan di sini adalah, kita selaku ketua, pupuklah kasih sayang sentiasa tanpa mengharapkan balasan dari keluarga. Itulah kepimpinan seorang ketua keluarga. Urus tadbir keluarga dengan baik dan ikhlas. JIka perlu, ajar ahli keluarga untuk menolong kita, kemudian, serahkan selebihnya kepada kita. Inilah kerja berpasukan yang mengeratkan hubungan kita sesama keluarga. Sesekali, ucapkanlah kata- kata yang baik sebagai peneguhan. Minta maaf sesama ahli keluarga dengan hati ikhlas. Walau pun permintaan maaf kepada seorang anak. Ini untuk mendidik anak bertanggung jawab dan meminta maaf jika melakukan kesalahan. Juga boloeh meneguhkan hati menjadi pemaaf. Ini akan meringankan segala beban yang terpendam. Lama kelamaan, keluarga bertambah bahagia, dengan sifat kasih sayang, mendekatkan hati kita sesama keluarga. Di situlah kita mula sedar bahawa ia lebih berharga dari wang. Walau badai melanda, kita tetap tenang menghadapi cabaran. Pasukan yang kita bina tadi akan sentiasa bekerja sama menyokong dan membantu antara satu sama lain tanpa putus.
20. Hargai kebaikan pasangan
Bagi mereka yang sudah berkahwin dan mempunyai pasangan masing-masing, berusahalah untuk menghargai kebaikan psangan anda. Walau kita yang menanggung beban menghadapi cabaran, kita berkorban keringat dan waktu, tidak salah untuk kita hargai pasangan kita.
Contohnya, seorang suami yang berusaha mencari rezeki setiap hari, sedang isterinya di rumah tidak bekerja, berilah penghargaan kepadanya. Kenapa? kerana pasangan ini membantu kita di sebalik tabir. Bagi si suami tadi, pasangannya telah membantu menyediakan makanan, dia juga menolong kita ketika kita keluar mencari rezeki. Menjaga rumah, mengurus anak, menyediakan masakan hasil rezeki yang telah dicari, mengurus pakaian yang telah suami sediakan, dan sebagainya yang tidak kita sedari. Begitu juga isteri, hargailah suami anda yang sentiasa berkorban mencari nafkah. Pengorbanan mereka jarang dikongsikan. Kerana itu sememangnya suatu tanggung jawab yang pelu digalas bagi mereka yang bertanggung jawab. Walaupun begitu, hargailah dengan penuh rasa syukur dan berterima kasih.
Penghargaan yang diberikan kepada pasangan masing- masing tidak menjadi sia-sia. Dengan keikhlasan diri kita menghargainya, ia memberi peneguhan dalam hati sesiapa yang dihargai. Bagi yang menghargai juga, anda juga rugi sedikit pun. Pasangan kita akan terus bersemangat, dia juga akan setia dan bersedia mengahadapi cabaran bersama-sama.
21. Bina kehidupan yang mensyukuri dan kenal rezeki
Ingatlah, walau kita dilanda badai inflasi, kita perlu sentiasa sedar dan fokus. Bahawa bukan wang semata- mata yang perlu dicari. Walaupun ceritanya adalah inflasi. Rezeki sihat, lapang, bahagia, kenyang, hidup juga adalah rezeki. Walau ia hadir seketika, kita perlu kenal bahawa ia sememangnya rezeki.
Semua ini berkaitan mindset dan mentaliti kita. Kenapa ia penting? Ketika inflasi, kita perlukan wang. Ya, kita hidup dalam dunia yang perlukan wang. Namun sebenarnya, dengan menyedari akan rezeki yang sentiasa hadir, kita akan lebih bijak mengaturnya di samping mensyukuri akan rezeki tersebut. Dengan mentaliti dan kebijaksanaan kita, rezeki ini sedang bertambah. Akhirnya, kita boleh menjimatkan wang. Saya mula sedar semua ini dengan menjalani kehidupan harian bersama mentaliti yang kenal rezeki ini. Hari demi hari, masa berlalu dengan penuh kualiti. Ya, wang yang bagaikan tidak berbaki masih terpampang dalam akaun dengan jumlah yang tidak seberapa, masih cukup walau sedikit. Ada waktunya, perasaan bimbang juga mulai datang, terutama ketika keinginan membeli mula timbul. Namun, dengan penerapan mengenal rezeki dan sentiasa mensyukuri, saya berjaya bertenang dan mengawal diri. Saya kembali fokus untuk bertahan. Jika rezeki kita, ia tetap menanti suatu hari nanti.
22. Tidur awal
Antara strategi yang saya guna dalam menempuh cabaran inflasi adalah dengan tidur awal. Setiap hari kita berusaha, berkorban masa dan tenaga. Ada waktunya kita merasa lelah. Terkadang kita boleh menyakiti tanpa kita sedari. Pada ketika ini, emosi hampir mengawal diri. Maka saya amalkan tidur awal. Biasanya, selepas isyak, masih juga sempat untuk melakukan sedikit hal produktiviti. Dengan susunan masa yang berdisiplin, hari demi hari saya dapat menyesuaikan diri di samping menjaga perkara yang perlu. Ia memberi sedikit ruang waktu untuk saya bernafas. Pada waktu ini, sekitar jam 9 malam, adalah ruang santai untuk saya bersama keluarga. Namun, apabila sudah menghampiri jam 10 malam, saya dan pasukan keluarga akan bersedia untuk tidur. Sebolehnya tidur sebelum jam 10 malam. Namun jika merasakan ia terlalu ketat, kami biasa juga tidur sebelum jam 10.30 malam. Apa kelebihannya?
Sebenarnya, sudah lama saya mendapati yang tidur awal ini boleh menjaga hati. Kita lebih senang mengawal emosi. Mungkin tenaga kita seluruhnya lebih terjaga dengan rehat yang berkualiti. Dengan tidur awal, kita juga berkemampuan bangun awal. Jika setiap hari kita bangun awal, ketika yang lainnya masih tidur, kita sebenarnya mendapat bonus masa yang orang lain tida dapat. Bayangkan jika 1-2 jam lebih awal kita bangun berbanding orang lain setiap hari, pada waktu inilah kita menyambung perkara produktiviti yang boleh membawa hasil. Ingat, bukan hanya perkara membabitkan kewangan ya. Terpulanglah kepada kita apa yang kita mahu manfaatkan. Selain itu, tidur awal juga membuatkan kita mampu mengawal kehendak. Disebabkan kita tidak menghabiskan masa untuk berjaga, kita tidak mensia-siakan waktu dengan perkara yang kadang-kadang boleh dikatakan agak merapu. Jika itu berlaku, kita cenderung untuk berangan dan berkehendakkan sesuatu.
Oleh itu, tidur membuatkan kita fokus dan lupa sejenak keinginan kita di samping membantu kita mengawal emosi. Dengan rehat berkualiti, kita juga dapat menguruskan stress dengan baik.
Kesimpulannya
Saudaraku sekalian,
Apa saja yang datang menduga adalah di luar kawalan dan bidang kuasa kita. Namun begitu, kita dianugerahkan kemampuan untuk mengawal diri dan membuat pilihan. Dengan akal yang diberikan, persiapkanlah ia sebaik mungkin supaya sentiasa tajam dan berwaspada. Lengkapkan ia dengan ilmu, pengalaman serta latihan kebijaksanaan. Dengan penuh disiplin, akal kita boleh dilatih dengan kebiasaan untuk membuat keputusan bijak. Ia akan lebih cenderung untuk memihak kepada kita jika baik niat kita. Gunakanlah ia sebaik mungkin. Itulah mentaliti kita. Menjadi senjata yang hebat. Jika digabungkan dengan perisai disiplin, dan kita adalah pejuang yang mengendalikannya, ia akan saling melengkapi. Membuatkan kita tenang menghadapi rintangan.
Asasnya, akal yang diberikan ini boleh membezakan baik atau buruk sesuatu perkara. Dengan akal yang sempurna, kita akan memilih yang baik walaupun ia kurang memberi kepuasan kepada kita. Kita sedar, kepuasan ini hanya sementara. Dengan pilihan tadi, kita sebenarnya telah membina setup masa hadapan yang lebih baik. Ia akan datang bersama kegembiraan apabila tiba masanya. Berbanding pilihan buruk yang memberikan keseronokan dan kepuasan hati, ia juga hadir secara sementara. Selepas dari itu, apabila sudah berakhir keseronokan tadi, kita terpaksa menanggung sengsara yang lebih lama tempohnya.
Inilah antara cabang seni mengawal diri. Gunakan kelebihan akal yang dianugerahkan kepada kita. Ia menjadi alat istimewa yang berguna sepanjang hayat kita.
Dalam situasi sekarang yang ekonomi dunia kian meruncing, kita perlu menghadapi cabaran inflasi yang sangat menduga. Akan tetapi, setelah kita persiapkan diri dengan mentaliti dan mindset yang betul, segala cabaran dan rintangan ini akan kita hadapi dengan penuh ketenangan.
Senirahsia mengingatkan, di samping mendapatkan wang untuk kita seimbangkan dalam perbelanjaan kita, mencari ketenangan juga amat diperlukan. Sehinggakan ia menjadi suatu nikmat yang lebih baik dari wang. Ketenangan membuatkan wang yang kita dapat hasil titik peluh menjadi kebahagiaan dalam hidup biarpun tidaklah seberapa. Ia bukanlah tentang banyak atau sedikit hasil yang kita dapat, tetapi tentang bernilai atau tidak. Jika wang yang banyak telah kita dapatkan, ia menjadi tiada nilai sekiranya kita tidak menghargainya akibat kerunsingan yang melanda. Namun, dengan ketenangan yang hadir, kita boleh menghargainya tanpa pengaruh emosi jahat yang mengganggu jiwa dan minda kita.
Sekian, terima kasih.
