Setiap dari kita yang menjalani kehidupan, pasti perlu mengurus diri dan kehidupan dengan baik. Kita akan terlibat dengan pelbagai perkara sama ada mudah atau rumit. Dalam keadaan tertentu, kita dapat memilih supaya urusan yang bakal dilakukan supaya sentiasa mudah dan ringkas. Ada ketika kita tidak dapat menjangkakan urusan yang bakal mendatang yang harus kita tempuh. Sebenarnya kita perlu berurusan demi kelangsungan hidup.
Dalam banyak keadaan kehidupan sebenarnya menjadi lebih mudah apabila kita membuat sedikit persediaan sebelum sesuatu itu berlaku. Sebaliknya, apabila kita sering menangguhkan persediaan, urusan yang kecil boleh bertukar menjadi beban yang besar. Kita terlupa mengisi minyak, tergesa-gesa mencari pakaian, kelam kabut menyiapkan tugasan, atau terpaksa berhadapan dengan masalah yang sebenarnya boleh dielakkan lebih awal.
Setiap orang mempunyai cara hidup yang berbeza. Ada yang suka hidupnya mudah dan ringkas. Ada yang sukakan cabaran. Ada yang mempunyai impian dan matlamat yang jelas, berkehendakkan dan mengimpikan sesuatu. Tidak kurang juga yang menjalani kehidupan tanpa banyak memikirkan persediaan untuk masa hadapan.
Bagi mereka yang kenal, tahu dan memiliki matlamat dalam hidup, mereka merancang dengan tenang, sabar, memiliki pemikiran yang sihat dan mula membuat persediaan seawal mungkin. Ini adalah tanda kejayaan seseorang sudah bermula.
Kejayaan seringkali bermula lebih awal daripada yang kita sangka. Ia bermula saat seseorang membuat persediaan dan mengambil tindakan sebelum sesuatu itu benar-benar diperlukan.
Senirahsia mengingatkan, sentiasalah mengenal hakikat kehidupan agar segala keputusan yang bakal dilakukan tidak jauh menyimpang dari landasan yang sepatutnya. Ia mempengaruhi kehidupan yang bakal kita lalui. Iaitu sebuah perjalanan yang memiliki terlalu banyak persimpangan untuk kita pilih.
Maka, matlamat itu arah, ilmu sebagai kompas, persediaan sebagai bekalan. Inilah seni rahsia dalam membuat persediaan.
Dalam penulisan ini, Senirahsia mengajak kita bersama-sama menyemak semula pada tahap mana keadaan kehidupan yang kita lalui setiap hari. Adakah ia semakin tenang, atau semakin sulit?
Tanda-Tanda Urusan Harian Semakin Sulit
Kadangkala kita tidak menyedari bahawa kehidupan sedang mula menjadi rumit. Ia tidak berlaku secara mendadak. Sebaliknya, ia berlaku sedikit demi sedikit sehingga akhirnya kita mula merasa letih, tertekan dan sukar menguruskan banyak perkara dalam satu masa.
Berikut merupakan beberapa tanda yang mungkin menunjukkan bahawa urusan harian kita semakin sulit dan memerlukan sedikit penambahbaikan dari sudut persediaan.
1. Sering tergesa- gesa walaupun melakukan perkara yang sama setiap hari.
Kita sebenarnya mengetahu apa yang perlu dilakukan setiap hari.
Bangun tidur, mandi, bersiap, pergi kerja, menghantar anak ke sekolah atau menjalankan rutin yang hampir sama. Namun anehnya, kita masih sering :
- mencari pakaian pada saat akhir
- terlupa bawa dokumen penting
- mencari kunci kenderaan
- terlambat keluar rumah.
Jika perkara yang sam berulang setiap hari, mungkin masalahnya bukan pada kesibukan, tetapi pada kurangnya persediaan.
2. Sentiasa rasa tidak cukup masa.
Setiap orang menerima 24 jam yang sama.
Namun, ada yang mampu menyelesaikan banyak urusan dengan tenang, manakala ada yang sentiasa merasa masa terlalu singkat.
Perasaan tidak cukup masa selalunya berpunca daripada :
- terlalu banyak penangguhan
- kurang perancangan
- tiada susunan keutamaan
- terlalu banyak perkara dibuat pada saat akhir
Apabila persediaan dibuat lebih awal, masa yang sama dapat digunakan dengan lebih baik.
3. Kerap terlupa perkara- perkara kecil yang penting
Pada mulanya ia mungkin nampak remeh.
Terlupa isi minyak.
Terlupa bayar bil.
Terlupa membawa fail.
Terlupa membeli barang dapur.
Namun, apabila perkara kecil ini mula terkumpul, ia boleh mengganggu urusan yang lebih besar.. Kadangkala bukan perkara besar yang menyusahkan hidup kita. Sebaliknya, perkara kecil yang berulang-ulang.
4. Mudah berasa tertekan apabila muncul perkara yang tidak dijangka
Kehidupan tidak akan sentiasa mengikut perancangan. Akan ada :
- Kenderaan rosak
- anak kurang sihat
- perubahan jadual
- urusan kecemasan
Orang mempunyai sedikit persediaan biasanya lebih tenang menghadapi keadaan sebegini kerana masih mempunyai ruang untuk mengatur tindakan.
Sebaliknya, jika segala-galanya sudah berada pada tahap maksimum, sedikit gangguan pun mampu menyebabkan seluruh jadual menjadi kucar-kacir.
5. Banyak kerja tertangguh walaupun sebenarnya tidak sukar
Ada kerja yang hanya memerlukan beberapa minit untuk diselesaikan.
Namun, kerana sering ditangguhkan, ia mula bertambah banyak.
Akhirnya, perkara yang kecil menjadi besar.
Perkara yang mudah menjadi berat.
Perkara yang boleh diselesaikan hari ini terpaksa dibawa ke esok dan lusa.
6. Kehidupan terasa seperti sentiasa mengejar sesuatu
Ada ketika kita merasakan seolah- olah sentiasa mengejar masa.
Mengejar jadual.
Mengejar tugasan.
Mengejar tarikh akhir.
Mengejar masalah yang tidak habis- habis
Keadaan ini biasanya berlaku apabila kita terlalu banyak bertindak secara reaktif, tetapi terlalu sedikit membuat persediaan secara proaktif.
7. Tiada ruang untuk perkara yang lebih penting
Apabila teralu sibuk mengurus perkara kecil yang tidak tersusun, kita mula kehilangan masa untuk perkara yang sebenarnya lebih penting.
Seperti :
- keluarga
- kesihatan
- ilmu
- ibadah
- pembangunan diri
Sedangkan perkara- perkara inilah yang memberi nilai kepada kehidupan dalam jangka panjang.
Hakikatnya….
Banyak urusan menjadi sukar bukan kerana ia benar- benar sukar. Ada kalanya ia menjadi sukar kerana kita terlalu bergantung kepada keaaan semasa dan terlalu sedikit membuat persediaan.
Persediaan yang kecil mungkin kelihatan tidak penting apabila semuanya berjalan lancar. Namun, apabila tiba masanya, persediaan itulah yang sering menjadi penyelamat.
Antara sebab itulah, Senirahsia menghimpunkan 7 setup yang dapat membantu melancarkan urusan harian, supaya kehidupan dapat dijalani dengan lebih tenang, teratur dan bersedia menghadapi apa jua yang mendatang.
7 Setup Yang Melancarkan Urusan Harian
Penemuan pada kali ini amat menarik. Ia membentuk suatu falsafah :
” Kehidupan menjadi lebih mudah apabila kita membuat persediaan sebelum ia diperlukan”
Persediaan yang baik tidak semestinya besar atau memerlukan kos yang tinggi. Kebanyakannya hanyalah perkara kecil yang dilakukan secara konsisten sehingga a menjadi rutin.
Apabila sesuatu perkara dilakukan lebih awal, kita mengurangkan tekanan pada masa hadapan dan memberikan ruang untuk diri bertindak lebih tenang.
Berikut merupakan beberapa setup yang boleh diamalkan bagi membantu melancarkan urusan harian dan mengurangkan keadaan kelam- kabut yang sering berlaku tanpa kita sedari.
1. Setup Pagi
Ramai orang menganggap kejayaan harian bermula apabila mereka keluar bekerja atau memulakan tugasan. Namun hakikatnya, sebahagian besar perjalanan hari tersebut telah ditentukan sebaik sahaja kita bangun daripada tidur.
Setup pagi yag baik membantu tubuh, minda dan jiwa berada dalam keadaan yang lebih bersedia untuk menghadapi pelbagai urusan yang bakal mendatang.
Bangun awal
Bangun awal memberi ruang kepada kita untuk memulakan hari tanpa tergesa-gesa. Kita memiliki masa untuk mengurus diri, menyusun fikiran dan membuat persiapan yag diperlukan sebelum dunia menjadi sibuk.
Malah, ruang yang wujud bukan sekadar memberikan kesempatan yang sedikit, tetapi ia juga menyediakan ruang yang lebih luas dari yang kita sangka. Kita boleh terasa terlalu lapang dan tenang sehingga kita boleh terhenti seketika memikirkan apa lagi yang boleh kita buat.
Mandi awal
Mandi awal pagi membantu menyegarkan badan dan meningkatkan tahap kesediaan diri. Ia seperti memberi isyarat kepada tubuh bahawa hari baharu telah bermula dan sudah tiba masanya untuk bergerak.
Buang air besar
Perkara ini mungkin jarang dibincangkan, namun ia memainkan peranan besar dalam keselesaan harian. Apabila sistem pencernaan berada dalam keadaan baik dan urusan ini dapat diselesaikan pada awal pagi, kita dapat menjalani hari dengan lebih selesa dan fokus.
Solat awal waktu
Dalam memenuhi tuntutan agama, pada awal pagi kita sudah bersedia untuk mendirikan Solat Subuh. Ia membentuk disiplin. Kebiasaannya, ramai di antara yang tewas untuk mendirikan solat subuh di awal waktu secara konsisten.
Mudah- mudahan, dengan terbentuknya disiplin pagi, kita dapat biasakan Solat Subuh pada awal waktu. Ia mengajar kita mendahulukan perkara yang utama dan membina ketenangan dalam diri sebelum berhadapan dengan pelbagai urusan dunia.
Mulakan hari dengan niat positif
Apa yang ada dalam fikiran sering mempengaruhi tindakan.
Tetapkan niat untuk melakukan perkara yang baik, memberi manfaat dan menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.
Niat yang baik sering menjadi permulaan kepada tindakan yang baik.
2. Setup Malam
Ramai yang menyangka hari esok bermula pada waktu pagi. Sebenarnya, hari esok sering bermula bermula sebelum kita tidur.
Persediaan yang dilakukan pada waktu malam dapat mengurangkan banyak tekanan dan kekalutan pada keesokan harinya.
Sediakan pakaian
Memilih pakaian pada waktu malam membantu mengelakkan keadaan tergesa-gesa pada waktu pagi. Ia juga mengurangkan keletihan membuat keputusan pada saat akhir.
Sediakan pakaian sukan
Bagi mereka yang bersenam, menyediakan pakaian sukan lebih awal meningkatkan kebarangkalian untuk benar-benar melakukan aktiviti tersebut.
Apabila timbul sedikit motivasi untuk melakukan senaman, pada ketika itu kita terpaksa mencari pakaian untuk bersenam. Di situlah berlakunya pembaziran masa dan tenaga.
Kadangkala halangan terbesar bukanlah senaman itu sendiri, tetapi rasa malas untuk membuat persediaan. Terkadang kita terhalang dengan persiapan untuk bersenam.
Cuci peralatan dapur
Dapur yang bersih memberi ketenangan apabila bangun pada keesokan hari. Selain mengelakkan timbunan kerja, ia juga membantu menjaga kebersihan rumah dan mengurangkan tekanan mental.
Susun beg atau meja kerja
Pastikan dokumen, peralatan kerja atau keperluan harian sudah tersedia. Persediaan kecil ini mampu mengelakkan masalah pada keesokan harinya.
Bagi yang menguruskan persekolahan anak, ajari anak-anak dari awal untuk menyediakan alat tulis dan kelas jadual. Bimbing mereka sehingga mereka mahir. Ini juga dapat meancarkan urusan anak. Mereka juga seperti kita, perlu kelancaran dan ketenangan dalam hidup.
3. Setup Kesihatan
Kesihatan yang baik sebenarnya merupakan suatu bentuk persediaan jangka panjang. Apabila tubuh berada dalam keadaan baik, banyak urusan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan.
Kawal pengambilan gula
Pengambilan gula yang berlebihan boleh menyebabkan badan menjadi lesu dan mudah mengantuk. Mengawalnya membantu meningkatkan tahap fokus dan produktiviti sepanjang hari.
Tidur yang cukup
Tidur bukan tanda kemalasan. Ia adalah keperluan asas manusia. Tidur yang mencukupi membantu pemulihan tubuh dan kesihatan mental.
Lakukan senaman ringan
Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat. Berjalan kaki, regangan atau aktiviti ringan yang konsisten sudah cukup membantu meningkatkan kecergasan dan tenaga harian.
4. Setup Kewangan
Persedaiaan kewangan yang kecil hari ini mampu mengelakkan tekanan yang besar pada masa hadapan.
Simpan RM 1 hingga RM 5 sehari
Jumahnya mungkin kecil. Namun apabila dilakukan secara berterusan, ia membentuk tabiat menyimpan dan menyediakan dana kecil yang boleh dimanfaatkan apabila diperlukan.
Catat perbelanjaan kecil
Ramai orang tahu ke mana wang besar digunakan, tetapi tidak sedar ke mana wang kecil menghilang. Catatan yang ringkas membantumeningkatkan kesedaran terhadap corak perbelanjaan harian.
5. Setup Logistik
Banyak masalah harian berlaku bukan kerana urusan yang sukar, tetapi kerana perkara- perkara asas tidak disediakan terlebih dahulu.
Isi minyak secara berkala
Jangan tunggu sehingga lampu amaran menyala. Mengisi minyak lebih awal memberi ketenangan dan mengelakkan situasi yang tidak diingini.
Hadir lebih awal
Datang awal memberi ruang untuk menyesuaikan diri dengan keadaan. Ia mengurangkan tekanan dan menunjukkan sikap menghormati masa orang lain.
Selain itu, ia juga boleh menjadi suatu kekuatan dalaman yang menguatkan aura anda.
Rancang perjalanan
Semak lokasi, keadaan lalu lintas dan tempoh perjalanan. Persediaan yang ringkas ini dapat mengelakkan banyak masalah yang tidak perlu.
6. Setup Keluarga
Disebalik kesibukan hidup, jangan lupa bahawa keluarga juga memerlukan perhatian.
Luangkan 5-10 minit berkualiti bersama anak.
Tidak semestinya lama. Yang penting ialah kehadiran dan perhatian yang diberikan. Membaca bersama, membantu menghafal atau sekadar berbual boleh memberi kesan yang lebih besar daripada yang kita sangka.
Setidaknya, berbual perkara bermanfaat, uji minda anak-anak dengan soalan yang memerlukan mereka berfikir, maka kitalah yang menjadi guru untuk membuat huraian.
Ia membawa kepada kesan jangka panjang yang akan berguna apabila tiba masanya kelak.
7. Setup masa
Masa yang diurus dengan baik sering menghasilkan kehidupan yang lebih teratur.
Manfaatkan masa menunggu
Ketika menunggu giliran, menunggu mesyuarat bermula atau menunggu seseorang, gunakan masa tersebut untuk membaca, membuat perancangan atau menyelesaikan urusan kecil.
Selesaikan kerja yang mengambil masa kurang dua minit
Jika sesuatu perkara boleh diselesaikan dengan cepat, lakukan segera. Ia tidak mengganggu kita di kemudian hari. Lebih-lebih lagi ketika kita sibuk.
Jangan biarkan ia bertukar menjadi timbunan yag lebih besar.
Buat persediaan kecil apabila ada masa terluang
Kadangkala masa lapang hanya beberapa minit. Namun beberapa minit itu cukup untuk menyusun meja kerja, melipat sedikit pakaian yang bertimbun, mengisi minyak atau menyediakan keperluan untuk esok.
Kesimpulannya…
Kehidupan yang tenang dan teratur bukan bermaksud hidup tanpa masalah. Sebaliknya, ia terhasil apabila kita menyediakan diri lebih awal sebelum sesuatu keadaan berlaku. Banyak perkara yang dianggap remeh sebenarnya memberi kesan yang besar apabila dilakukan secara konsisten.
Bangun sedikit lebih awal, menyediakan pakaian sebelum tidur, mengawal kesihatan, mengurus kewangan, merancang perjalanan serta memanfaatkan masa yang ada merupakan antara bentuk persediaan yang boleh membantu mengurangkan tekanan dalam urusan harian. Ia mungkin tidak memberikan perubahan yang besar dalam sehari, namun kesannya akan mula dirasai apabila diamalkan dalam jangka masa panjang.
Apabila sesuatu urusan datang tanpa diduga, kita tidak lagi terlalu panik atau kelam- kabut kerana sebahagian persediaan telah pun dibuat lebih awal. Pada ketika itu, kita akan mula memahami bahawa persediaan bukan sekadar satu amalan, tetapi satu bentuk kebijaksanaan dalam menjalani kehidupan.
Kaedah begini mendorong kita membina apa yang boleh dianggap seperti senjata rahsia dalam kehidupan. Kelihatan kecil dan biasa pada hari ini, namun bekalan kecil ini akan berguna apabila tiba masanya kelak. Kitalah yang akan paling merasai manfaat daripada persediaan yang pernah dilakukan.
Maka, jangan tunggu sehingga keadaan menjadi sukar untuk mula membuat persediaan. Mulakan dengan perkara yang kecil dan mudah terlebih dahulu. Sedikit demi sedikit, ia akan membentuk sebuah sistem kehidupan yang lebih teratur, lebih tenang dan lebih bersedia menghadapi apa jua yang mendatang.
Kerana dalam banyak keadaan, kejayaan sesuatu urusan bukan ditentukan ketika ia berlaku, tetapi ditentukan lebih awal melalui persediaan yang dilakukan sebelum ia bermula.
