
Ramai di antara kita yang bercita- cita besar, menginginkan kejayaan yang besar dikecapi dalam hidup. Dari situ manusia mula bertindak dengan pilihan masing- masing. Ada di antaranya yang sedang dalam landasan menuju kejayaan, dengan bijaknya membuat keputusan untuk terus berusaha. Beruntungnya mereka….
Bagaimana pula yang sedang mencari penyelesaian bagi masalah yang dialami. Ada yang terus bangkit dari kegagalan lalu. Ada yang serta merta membuat tindakan, mengorak langkah kerana rezeki tidak akan datang bergolek. Apa guna untuk terus menunggu. Ada juga yang terus merancang, menyusun strategi, mengatur langkah pelan kejayaannya. Walaupun pada mata kasar seolah- olah tiada tindakan darinya, itu hanyalah tafsiran luaran dari mereka yang berada seklilingnya. Baginya dia sudah mula melangkah.
Tidak kiralah kejayaan yang kita inginkan tersebut dari segi apa pun seperti mendapat tawaran kerja yang diidamkan, profesional, memiliki aset kekayaan dan kewangan yang kukuh, bersara awal, berjaya melunaskan hutang atau mencapai kebebasan kewangan, pulih dari sakit, berjaya membesarkan anak dengan pendidikan, berjaya dalam perniagaan, dan sebagainya yang memberi kesenangan dan kebahagiaan kepada kita.
Manusia selalu mahukan perkara besar, tetapi kerap gagal dalam perkara kecil.
Seperti yang saya nyatakan, kita selaku manusia yang inginkan perkara besar akan mula membuat tindakan. Persoalannya, sejauh manakah kita akan melangkah meneruskan tindakan tersebut? Cukup kuatkah kita untuk terus melangkah? Kita mampu untuk merancang, dan kita cuba untuk laksanakannya. Kemudian kita mula temui sesuatu iaitu apa yang dirancang sedikit berlainan ketika kita mula melaksanakannya. Ini kerana kita akan mula berdepan dengan masalah yang tidak diduga setiap kali kita membuat tindakan.
Pada mulanya, ya, kita akan cuba sedaya upaya untuk mengharungi setiap rintangan tersebut. Berbagai onak duri kita akan cuba lalui. Namun lama kelamaan, kita sedar, ianya agak rumit dan sukar untuk diselesaikan. Kita merasakan sangat sukar untuk kita capai apabila kita mula tewas.
Sebenarnya, kita kekurangan kekuatan dalaman diri.
Sebelum mengejar sesuatu yang lebih besar, sebenarnya kita perlu berhenti seketika, fikirkan sejenak. Tanya diri kita yang inginkan kejayaan tersebut, apakah kita mampu untuk menanggung keseluruhannya?
Cuba bayangkan jika kita ingin mengembara. atau lebih baik lagi anggap saja diri kita seorang pengembara. Adakah kita tahu secara terperinci setiap perkara atau keadaan yang bakal kita lalui? Kita tidak tahu bila akan tiba ke destinasi yang ingin kita tuju, bagaimana keadaan cuaca di sana, tahap keselesaan kita di sana, apa makanan yang ada. Bahkan, persediaan yang kita buatkan untuk diri pun tidak dapat memenuhi segala keperluan sepanjang pengembaraan. Kita hanya akan sediakan yang asas. Selebihnya, kita akan fikir kemudian bergantung kepada apa yang bakal kita lalui. Jika kita sanggup untuk menyediakan keperluan melebihi kapasiti muatan dan kudrat yang kita miliki, mampukah kita untuk menanggungnya. Bekalan yang dimasukkan ke dalam beg pun kita terpaksa kurangkan, apatah lagi untuk menanggung keseluruhannya.
Ya, itulah yang bakal kita bawa bersama-sama sepanjang menuju apa yang kita inginkan.
Kita perlu kekuatan dalam diri. Tidak semestinya kekuatan fizikal semata- mata. Ia juga meliputi :
- ilmu
- kekuatan jiwa
- kebijaksanaan membuat keputusan (setiap orang memilikinya – kenali diri anda)
- disiplin
- ketenangan
- perjalanan diri ( refleksi dan perbaiki diri – menambah baik diri)
- kerajinan
- kemahiran bertindak
- pengalaman bermakna
- tanggungjawab
Semakin tinggi nilai kekuatan diri kita, semakin kuat kita untuk menanggungnya.
Bagaikan sebuah keluarga, kitalah ketua, kita inginkan kebahagiaan, kesenangan, keseronokan, ketenangan, keriangan, kekayaan, dan sebagainya. Bersama-samanya juga ada sisi gelap yang perlu kita beri perhatian kerana kita adalah ketua keluarga yang perlu bertanggungjawab terhadap hal ahli keluarga kita. Soal tempat tinggal, makan minum, pakaian, perbelanjaan, kenderaan, tingkah laku anak- anak, pendidikan dan sebagainya harus kita fikirkan. Ia ibarat caj tersembunyi yang perlu untuk kita siapkan persediaan. Maka, kekuatan diri yang besar sangat diperlukan bagi yang berkehendak.
Jadi…. Bagaimana untuk membangunkan kekuatan tersebut?
Sebenarnya, setiap dari kita mampu untuk membina kekuatan dalaman diri. Membina diri tidak semestinya melalui lonjakan besar, juga melalui tindakan kecil yang konsisten. Kita hanya perlu tingkatkan tahap disipin dan kecekalan kita untuk melaksanakan sesuatu yang kecil sehingga berjaya setulus hati kita. Ya, kadang-kadang perkara tersebut boleh jadi perkara remeh. Selesaikan sahaja. Lakukan secara konsisten sebolehnya bermula dari sekarang. Usah bertangguh lagi.
Apakah perkara-perkara kecil tersebut?
Begini, sebagai permulaan, apa kata kita bermuhasabah dahulu. Lihat semula diri kita. Apakah kelebihan dan kelemahan kita. Ini untuk mengenal dan merenung kembali diri kita yang sebenarnya. Apakah hakikat sebenar yang diri kita mahukan? Bagaimana kita boleh berada pada tahap sekarang? Apakah keputusan yang telah kita buat pada masa lalu?
Berikut adalah cadangan yang boleh dipraktikkan dalam membangun nilai kekuatan
1. Tambah ilmu
Jika kita inginkan ilmu, sanggupkah kita untuk mencarinya? Jika sanggup, habiskan dahulu bacaan sebuah buku yang anda miliki. Jika belum ada, inilah masanya untuk anda dapatkan sebuah buku dari kedai buku berhampiran anda. Tidak semestinya buku, apa sahaja yang memberi nilai tambah kepada kita, itu juga ilmu. Tambahkan ilmu kita dari masa ke masa. belajar untuk sukakan ilmu. Boleh mulakan dengan sesuatu yang kita suka dan minat. Sesuatu yang dekat di hati kita.
2. Amalkan ilmu yang sudah dikuasai
Ya, mula bergerak berlandaskan ilmu. jika pada awalnya kita membeli sebuah buku, kita lantas membaca sehingga habis. malah kita ulangi lagi buku tersebut sehingga kita bertambah faham dan ingat. Kemudian, mulakan tindakan. Fikirkan sesuatu yang berkaitan dengan apa yang kita faham. Sesuatu yang sememangnya kita lalui sama ada sudah, sedang mahu pun yang bakal kita tempuh. Bertindaklah dengan ilmu yang kita miliki.
3. Latih keupayaan fokus
Kekuatan dalaman diri bukanlah tentang banyak buat, tetapi adakah ia mampu hadir dalam apa yang sedang dibuat? Itulah keupayaan untuk fokus. Fokus ibarat otot – makin dilatih, makin ia kuat. Latihlah diri anda untuk fokus apabila melakukan sesuatu perkara. seperti anda sekarang yang sedang membaca, beri tumpuan sepenuhnya. Antara tips yang saya cadangkan :
- Belajar menjadi pendengar yang baik. Beri tumpuan ketika mendengar. Oleh itu, dengarlah sesuatu yang berkualiti. Sekurang-kurangnya, kita akan mendapat manfaat.
- Tutup notifikasi ketika buat tugas penting.
- Satu tugas, satu masa. Ini dapat mengelakkan kita dari gangguan luar yang boleh membunuh fokus kita.
- 5 minit fokus, 1 minit santai. Kemudian, fokus kembali untuk 5 minit seterusnya. Ini lebih sesuai jika seseorang yang baru berazam untuk meltih keupayaannya untuk fokus.
4. Ulang perkara baik sampai jadi automatik
Ilmu yang diamalkan sekali memberi kesan kecil. Ilmu yang diamalkan berulang kali, ia memberi kesan yang luar biasa. Jauh di sudut hati kita, ada ruang untuk diisi dengan perkara baik. Apabila tiba masanya, kita didatangi suatu keadaan, untuk kita lalui. Keadaan itu membuatkan kita terfikir untuk melakukan kebaikan. Ya, untuk menjayakan kebaikan tersebut, kita harus bertindak. Tindakan itu memberi pengajaran bermakna kepada kita. Apa salahnya kita jadikan ia sebagai amalan baik kita. Tida perlu untuk dihebohkan, cuma kita saja yang perlu mulakannya. ulangilah ia jika berpeluang sehingga meresap ke jiwa kita.
Konsistensi yang kecil boleh membawa perubahan besar.
5. Kenal arah hidup walaupun masih kabur
Kekuatan diri boleh datang apabila kita tahu kenapa kita bergerak. Tak perlu jelas 100%. Cukuplah dengan adanya kompas hidup.
“Aku mahu jadi lebih tenang.”
“Aku mahu jadi lebih stabil.”
” Aku mahu tubuh lebih sihat.”
Arah kecil memberi tenaga besar. Ia menjadi asbab tindakan kita. Maka, carilah arah yang positif. Mudah- mudahan kita tiba di destinasi kejayaan.
6. Kurangkan beban, bukan tambah beban
Kadang- kadang, kekuatan bukan datang dari apa yang kita tambah. Ada kalanya ia datang setelah kita kurangkan. Dalam erti kata lain, kita buang saja. Buang sedikit :
- komitmen yang tak perlu.
- tabiat yang melemahkan
- perbandingan dengan orang lain.
- aplikasi yang menyedut masa.
Setelah wujudnya sedikit ruang lapang dalam jiwa dan hidup kita, kekuatan baru yang akan mula memenuhi ruangan tersebut.
7. Jaga tenaga emosi
Seperti yang saya jelaskan, kekuatan dalaman diri bukan sekadar kekuatan fizikal semata- mata. Ia juga tentang ketahanan emosi. Ramai yang tewas ketika emosi sudah menguasai diri. Ia melemahkan kita. Ia memberi tekanan terhadap keputusan kita. Tindak tanduk kita juga akan turut terkesan jika emosi kita tergugat. Namun, sebenarnya emosi kita adalah sesuatu yang boleh kita kawal. Ya, emosi kita, kita mampu untuk menjaganya.
Amalan kecil menjaga emosi :
- bertenang sebelum respon. Tarik nafas dahulu, terapkan ketenangan.
- Rehat seketika bila berasa tegang.
- Bercakap lembut dengan diri sendiri. Jangan menurut arus emosi,fikir sebaliknya. Jika berasa marah, fikir untuk bersabar. Jika sedih, fikir untuk terima dan bangkit. Jika rasa dendam, fikir untuk memaafkan. Jika ingin menang dalam sesuatu hal seperti perdebatan kosong, fikirlah untuk minta maaf.
Emosi stabil membawa kepada keputusan lebih bijak. Justeru, tindakan kita juga akan terbimbing.
8. Buat tindakan mikro yang mengubah hidup
Ini selaras dengan apa yang ingin disampaikan. Sebenarnya, tindakan mikro ini membuatkan kita minimumkan kesalahan. Ia membawa kepada momentum yang menjurus kepada kekuatan. Terbinanya kekuatan sedikit demi sedikit. Ia membentuk keyakinan dan pendirian kita. Tidak perlu untuk kita hujahkan kepada sesiapa. Ia menjadi kekuatan dalam diri kita. Kita boleh bertindak apabila kita mahu bertindak mengikut arah kompas kita. Kita juga boleh menahan diri dari bertindak mengikut kemahuan kita yang bijaksana.
Contoh tindakan mikro yang anda boleh lakukan :
- Membaca sesuatu yang bermanfaat setiap hari walaupun sepotong ayat hingga ke 1 halaman.
- 1 minit kemas meja kerja anda.
- 1 langkah keluar rumah untuk bersenam.
- Gembirakan hati seseorang tanpa perlu diberitahu kepada sesiapa. Contohnya, belanja makan atau beri hadiah kepada seseorang seperti anak kecil mahu pun orang dewasa.Namun, utamakan yang perlu diutamakan dahulu seperti keluarga sendiri.
9. Pilih Lingkungan yang menguatkan
Kekuatan diri tumbuh lebih cepat bila kita berada dalam suasana yang menyokong. Ini juga salah satu hasrat senirahsia.com yang menginginkan komuniti positif yang menyokong antara satu sama lain. Bagi individu, lingkungan kecil yang kuat boleh terdiri daripada :
- Satu kawan yang positif
- Satu komuniti kecil yang saling membantu dan bertanggungjawab.
- satu sumber ilmu yang konsisten
Lingkungan yang betul memberi kita tenaga tambahan.
10.Belajar mengurus diri ketika lemah
Kekuatan dalaman bukan hanya muncul ketika kita bersemangat. Ia sebenarnya lebih jelas terlihat ketika kita sedang lemah dan tetap memilih untuk terus bergerak walaupun sedikit.
Ini bukan tentang memaksa diri, tetapi tentang :
- mengenal emosi sendiri
- menerima hari yang kurang baik
- tetap melakukan stu tindakan kecil walaupun tenaga rendah
- tidak menghukum diri bila tersilap
Kekuatan sebenar lahir apabila kita mampu berkata :
“Hari ini aku perlahan, tapi aku tetap bergerak.”
Ini membina daya tahan yang mendalam – inner resilience – yang menjadikan seseorang lebih stabil, tenang, kental dan sukar goyah.
Kesimpulan :
Kekuatan dalam diri bukan sesuatu yang muncul secara tiba-tiba. Ia boleh tumbuh perlahan melalui tindakan kecil yang kita ulang setiap hari. Bila perkara kecil disempurnakan dengan hati yang ikhlas, ia membina asas yang kukuh dalam diri. Dari situlah lahir ketenangan, keyakinan, dan keupayaan untuk menghadapi hidup dengan lebih stabil. Kekuatan besar sentiasa bermula daripada langkah kecil yang kita pilih untuk lakukan hari ini.
