5 Cara Membuat Keputusan Yang Betul Untuk Hidup Tenang dan Berjaya – Seni Rahsia Membina Peribadi Positif

~Imej ini dijana oleh AI~

Dalam kehidupan kita seringkali kita menghadapi suatu persoalan dan pilihan, iaitu baik atau buruk. Jika kita bertanya kepada diri kita sendiri, apakah sebenarnya yang kita mahukan? Baik atau buruk? Sudah tentu kita akan memilih yang baik berbanding yang buruk. Jika soalan ini diajukan kepada anak kecil yang sudah berakal, mereka juga akan memilih perkara yang serupa. Baik atau jahat, ingin berjaya atau gagal, ingin kenyang atau lapar, kaya atau miskin, dan sebagainya. Apa lagi jika pilihan jawapan adalah dari seorang dewasa normal yang lebih matang

Perkara ini sudah terjawab dari awal usia kita sebelum kita menjejaki alam dewasa. Itulah ketelusan hati kita yang telah lama tersimpan di lubuk hati menjadi kenangan. Ada kalanya kenangan ini telah pun kita lupakan walaupun ia sebenarnya sedang bersama kita mencorakkan peribadi dan tingkah kita. Ia juga boleh jadi matlamat hidup tanpa kita sedari.

Melatih diri untuk memilih sesuatu yang betul boleh menjadikan kita sentiasa berada di landasan yang betul. Inilah gunanya akal yang dianugerahkan kepada kita untuk membezakan baik dan buruk sesuatu perkara.

Kita inginkan kebaikan berbanding keburukan.

Begitu juga pilihan mengenai kehidupan kita. Kebanyakan di antara kita mengimpikan kehidupan yang baik dan bermakna. Kehidupan bagaimanakah yang kita mahukan itu?

Secara ringkasnya, ramai menginginkan kehidupan yang bahagia. Dalam kebahagiaan ini antaranya terkandungan segala macam kebaikan yang telah kita pilih mahu pun keputusan yang bakal dibuat kelak. Ada ketika kita menghadapi situasi sukar untuk membuat keputusan. Kita bagaikan terperangkap dalam dilema yang secara perlahan boleh menggugat hati dan fikiran kita. Ingin saya ingatkan, berhati- hati dengan dilema seperti ini. terkadang ia boleh melemahkan hati dan fikiran kita, bahkan mengganggu proses kejayaan kita. Mungkin ada yang terjerat dengan penyakit was-was yang memudaratkan kita.

Di ruangan ini saya ingin kongsikan sedikit coretan bagaimana kita boleh membuat keputusan yang betul. Dengan keputusan yang betul, ia juga membina peribadi kita. Apakah kaitan antara kedua-duanya? Teruskan membaca

Kenapa Perlu Membina Peribadi Positif?

Peribadi positif amat penting kerana ia menjadi asas kepada kemahiran membuat keputusan. Peribadi positif memiliki energi dan tarikan tersendiri buat pemiliknya. Dengan memiliki peribadi yang positif, buat kita dihormati dan disegani. Tidak hairan sesetengah orang mudah mendapat tawaran pekerjaan, lulus temuduga, juga tidak mustahil dipromosikan untuk naik pangkat. Ini adalah kesan sampingan kepada sesiapa yang memiliki peribadi positif.

Berbalik kepada topik kita, peribadi seperti ini mempengaruhi kita membuat keputusan yang rasional, matang dan tenang. Tanpa peribadi yang stabil dan positif, keputusan kita mudah dipengaruhi oleh emosi, tekanan, atau pengaruh luar.

Seni rahsia dalam membuat keputusan – menuju kehidupan bahagia

Untuk membuat suatu keputusan memerlukan kita berfikir. Cara kita berfikir akan mempengaruhi keputusan dan pilihan yang bakal dbuat. Oleh itu, amat penting untuk kita berfikir secara matang dan rasional. Namun, kematangan sahaja tidak cukup. Kita perlu berfikir dengan tenang tanpa emosi dan pengaruh luar.

Di sini ingin saya kongsikan beberapa Tips yang juga seni dalam berfikir :

1. Tenang

Pernah dengar tentang panik? Panik boleh terjadi dalam berbagai keadaan terutama jika melibatkan kecemasan. Tindak balas panik tersebut boleh terjadi sangat ketara sehinggalah ke tahap minimum. Sebagai manusia biasa, kita tidak terlepas diuji dengan panik. Apa yang boleh kita lakukan adalah dengan mengawal panik tersebut sehingga tidak mempengaruhi kita.

Jika seseorang mengalami panik, kemungkinan dia boleh membuat sesuatu yang tidak sepatutnya. Di sini, saya percaya para pembaca di luar sana faham apa yang saya cuba sampaikan iaitu kaitan antara ‘panik’ tersebut dengan keputusan yang bakal dibuat.

Keadaan panik biasanya memerlukan kita membuat keputusan dengan cepat dan tepat. Apa akan jadi sekiranya keputusan tersebut ‘salah’ atau terlambat dibuat ketika keadaan memerlukan? Bagaimana pula jika kita tidak menemukan jawapan ketika itu? Pasti di antara kita ada yang risau dan ragu-ragu dengan diri sendiri. Ada juga yang risau jika tabiat ini boleh memakan diri.

Jangan khuatir, mulai sekarang tanamkan dalam hati dan minda kita bahawa kita sememangnya makhluk Tuhan yang Maha Bijaksana. Ya, kita juga sekadar hamba yang lemah dan tiada daya. Yang menggerakkan kita adalah Yang Maha Kuasa. Namun kita diberi peluang untuk memilih. Pilihan yang kita buat menjurus kepada cara kita bertindak. Namun, kita tidak pula boleh beranggapan untuk membiarkan sahaja sesuatu masalah itu berlalu pergi kononnya ia ketentuan tuhan. Jangan sampai tersalah anggap ya. Mind set kena betul.

Dengan ini, terapkan selalu sifat tenang dalam segala hal yang kita lalui setiap hari. Jadikan ia amalan seharian, iaitu bertenang dalam segala hal. Dalam masa yang sama, kita juga perlu bertindak kerana kita diizinkan tuhan untuk membuat pilihan.

Ketenangan merupakan suatu anugerah tuhan yang amat berharga. Sifat tenang boleh dilatih dalam diri seseorang. Jangan berputus asa untuk bertenang. Ajarlah diri kita untuk bertenang dari sekecil-kecil hal. Ini kerana dari hal yang mudah untuk kita tangani akan menjadi batu loncatan kepada hal yang lebih besar. Kemampuan kita akan semakin bertambah hari demi hari. Latihan yang ringan dari hal yang kecil akan membiasakan diri kita dan membentuk peribadi yang lebih postif tanpa kita sedari. Tidak perlu untuk seseorang itu berubah secara drastik. Sebaiknya, perbaiki sedikit demi sedikit yang membuatkan kita akan konsisten membentuk diri.

Ini bahagian yang saya rasakan penting dalam perbahasan mengenai ‘tenang’. Tujuan utama kita adalah untuk menguasai emosi. Emosi negatif mudah mempengaruhi kita berbanding positif. Ia mudah untuk datang, sukar untuk pergi. Berbanding emosi positif yang lebih mudah tewas dan lenyap jika hadir emosi negatif ini. Ini kerana diri kita sendiri akan bertukar menjadi musuh dalam senyap jika kita mudah terikut emosi.

Oleh itu, belajarlah mengawal emosi dalam memupuk sifat tenang dalam diri. Begitu juga pentingnya sifat tenang untuk mengawal emosi. Kedua-duanya saling memerlukan. Maka, konsisten melatih diri bertenang serta mengawal emosi adalah kunci untuk seseorang itu bangkit menjadi pejuang dalam diri sendiri.

Lama-kelamaan, emosi negatif mula dapat dikawal. Kita mengharapkan Semakin ia mengecil, semakin bertambah keyakinan kita. Sifat tenang ini membawa kekuatan baharu untuk kita lebih yakin mengharungi cabaran mendatang. Semoga tenangnya hati dan minda, kita dapat membuat keputusan tepat walau dalam keadaan yang menekan. Mungkinkah ini yang dikatakan gerak hati? Teruskan mencari.

2. Sabar dan Redha

Membuat sesuatu keputusan kadang kala menimbulkan perasan terburu-buru. Biasanya kita tidak sabar untuk melihat keputusan tersebut berhasil atau tidak. Adakala, keputusan yang dibuat memerlukan suatu tempoh yang lama sebelum mula membuahkan hasil. Hasil yang baik muncul jikalau kita berjaya membuat keputusan yang betul. Itu pun ceritanya kalau kita berjaya membuat keputusan. Dalam konteks yang sedang kita bincangkan, bagaimana ingin membuat keputusan yang betul tersebut?

Caranya yang saya syorkan adalah ‘sabar’. Amat mudah untuk kita ungkapkan, tapi agak berat untuk dilaksanakan. itulah namanya sabar.

Untuk membuat sesuatu keputusan, terutama dalam keadaan yang menekan, kita perlu berhenti seketika. Hadirkan dulu ketenangan supaya kita dapat membuat keputusan yang matang dan rasional tanpa mengikut emosi. Ya, musuh utama kita sekali lagi cuba untuk melawan. Namun, kali ini ia datang dengan cara membuatkan kita terburu-buru untuk bertindak. Pernah lihat orang yang dalam keadaan terlampau marah? Ketika kemarahan menguasai diri, segala tindakan yang diambil berpotensi mendatangkan penyesalan. Kenapa? Kerana tindakan yang dilakukan adalah berdasarkan keputusan terburu-buru yang telah dibuat.

Begitu juga diri kita kebanyakannya, pernah terburu-buru membuat keputusan. Kita tidak sabar untuk membuat tindakan. Sifat terburu-buru ini juga membuka peluang kepada yang ingin mengambil kesempatan. Sebabnya, individu yang terburu-buru mudah diperdaya. Kita membuat keputusan untuk membeli sesuatu produk misalnya, akhirnya produk tersebut tidak mendatangkan manfaat, sebaliknya menimbulkan kemarahan kita. Hal ini kerana kita membeli dengan emosi. Tidak mengapa jika produk tersebut murah harganya dan tidaklah begitu mahal. Apa yang merisaukan, masih ramai yang ‘terkena’ disebabkan sifat terburu-buru. Ada yang terperangkap dengan hutang akibat pelaburan yang menjanjikan bulan dan bintang, ada yang bertindak melulu untuk kepuasan hati menang dalam pertengkaran yang memutuskan hubungan sesama insan, ada juga yang memecut kenderaan sehingga membahayakan nyawa diri sendiri dan orang lain.

Jadi, pupuklah sifat sabar dalam diri.

Dalam proses kita membuat keputusan, sabar, fikir sejenak. Kemudian baru bertindak. Ingat, kita ingin membina kejayaan. Kejayaan yang terbina ini membawa kepada kebahagian hidup kita. Oleh itu, jadilah orang yang bersabar.

Cuba untuk sentiasa ingatkan diri kita dan orang sekeliling kita, keluarga kita, orang yang rapat dengan kita supaya bersabar. Di samping itu, terapkan juga dalam hati kita untuk menjadi orang yang redha. Redha dengan ketentuan tuhan, redha dengan keadaan semasa kita. Kita berusaha untuk membina kejayaan, ia juga memerlukan kesabaran dan keredhaan. Sabar juga dalam menempuhi cabaran, redha dengan kemampuan semasa dan perjalanan masa. Ini akan menguatkan lagi keputusan yang kita buat.

Dengan bersabar, kita juga dapat membina peribadi positif. Peribadi positif ini boleh membawa kita memilih kebaikan berbanding keburukan.

jadi, bersama-samalah kita membina karakter sabar.

3. Kenal Pasti Hakikat Sebenar dan Matlamat

Ya, kita boleh membuat pilihan yang baik dengan mengenal pasti hakikat sebenar dan matlamat. Hakikat sebenar adalah diri kita siapa yang sebenarnya. Bagaimana sifat kita, apa kekuatan dan kelemahan kita. Ia juga ada kaitannya dengan impian kita. Tidak salah untuk kita impikan sesuatu, tapi kita harus ingat, impian tersebut haruslah relevan dengan kita. Ada yang mengimpikan sesuatu yang amat besar, yang boleh mengubah corak kehidupan kita menjadi orang lain. Mampukah kita menggapai impian tersebut?

Persoalan ini bukanlah untuk melemahkan semangat siapa- siapa. Jika bertanyakan dari sudut pakar motivasi yang membina keyakinan dan kekuatan untuk berubah, jawapannya adalah ‘tidak mustahil’ untuk mencapai impian yang besar. Tapi, dalam konteks perbincangan kita, adakah kita mahu mengubah corak hidup yang selama ini sebati dalam hidup kita. Bukan itu sahaja, kehidupan yang telah sebati tersebut telah berada di ambang kebahagiaan. Mahukah kita mengubahnya?

Jika sememangnya kita memiliki sifat usahawan yang mengidamkan perubahan membina empayar kekayaan, hakikat sebenar ini juga boleh dijadikan panduan dalam mebuat keputusan. Seorang usahawan juga tidak lari dari proses membuat keputusan. Sebab itu, ramai yang pernah mendengar perkataan ‘niche’. Ini kerana tindakan yang diambil selalunya berasaskan minat. Apatah lagi jika seseorang itu yang berkerjaya, mula bertindak untuk mengubah kehidupan menjadi lebih baik dengan cara menambah pendapatan melalui perniagaan. Individu ini kebiasaannya akan mencari cetusan idea bermula dari minat dan kemahiran tersendiri.

Oleh itu, carilah hakikat sebenar diri kita untuk dijadikan asas kita berfikir. Seni berfikir ini boleh mengaktifkan semula alam bawah sedar kita yang telah kita lupakan.

Bila tiba masanya untuk mebuat sesuatu keputusan, hati kecil kita akan mula berbisik mengingatkan kita. Jika emosi negatif dapat mempengaruhi diri kita menjadi musuh, alam bawah sedar ini pula menjadi perisai yang menguatkan diri kita.

Bersama-sama hakikat sebenar ini, kita akan mendapati juga apakah matlamat hidup kita yang sebenar. Orang yang berjaya juga adalah orang yang tahu matlamat sebenar dalam hidupnya dari awal. Dengan kita mengenal hakikat dan matlamat sebenar ini, berusahalah untuk mencari kejayaan berpandukan kekuatan ini iaitu kekuatan sebenar kita. Teruslah berusaha tanpa putus asa sehinggalah ke suatu masa yang telah ditetapkan.

Mudah-mudahan, keputusan yang bakal kita buat tidak kiralah keputusan besar dalam hidup atau pun keputusan yang dianggap kecil, adalah keputusan terbaik untuk diri dan dekat di hati kita. Sekiranya berlaku sesuatu, kita akan lebih kuat dan tidak mudah menyesal disebabkan asas yang kukuh telah terbina dari awal.

4. Buat Sesuatu Yang Membawa Kebaikan

Asalkan sesuatu itu membawa manfaat dan kebaikan, pilihlah untuk kita laksanakan jika ada kemampuannya. Ada waktunya kita berbelah bahagi sama ada untuk berbuat sesuatu perkara atau tidak. Perkara tersebut terkadang hadir dalam pelbagai bentuk. Misalnya, kita diajak oleh keluarga, rakan, jiran, majikan dan masyarakat sekeliling untuk berbuat sesuatu yang bermanfaat dan mendatangkan kebaikan bersama.

Apa salahnya untuk kita turut serta sekiranya ada kemampuan? Bahkan, pernah terlintas di hati kita untuk melakukan sesuatu yang memberi manfaat setidak-tidaknya untuk diri sendiri dahulu seterusnya orang lain.

Pupuklah diri kita untuk membuat sesuatu yang baik walaupun ia sekecil-kecil kebaikan sehinggakan tiada seorang pun yang menyedari. Amalan ini akan membentuk peribadi kita. Secara tidak langsung ia melatih diri kita untuk sentiasa memilih sesuatu yang baik. Inilah yang kita perlukan dalam membuat keputusan. Kita perlu pilih sesuatu yang baik.

Jika ia mendatangkan kejayaan, tahniah! Kita sedang mengecapi kebahagiaan yang kita cari. Namun, jika kegagalan yang mendatang, kita tidak mudah menyesal. ini kerana setiap yang berlaku sama ada berjaya atau tidak, ia adalah rencana dari Tuhan yang Maha Mengetahui. Apa yang kita perlu risau adalah keputusan yang bakal dibuat tersebut. Adakah ia bermula dari pilihan baik atau buruk (jahat)?

Jika asalnya kita memilih untuk kebaikan, kita masih mampu tersenyum kerana tiada penyesalan yang boleh menyalahkan diri sendiri. bahkan, jika kematian yang datang menjemput, kita telah meninggalkan sesuatu yang bermanfaat untuk orang lain. Manfaat tersebut juga tidak ke mana yang akhirnya berbalik kepada kita. Tetapi jika bermula dari pilihan buruk, maka penyesalan sedang menunggu giliran untuk datang kemudian.

Walau bagaimana pun, sebagai seorang manusia biasa, kita tidak dapat lari dari tersilap langkah dan pilihan. Apa yang boleh kita buat adalah dengan mengawal dan minimumkan kesalahan tersebut.

5. Jangan Biasakan Berbohong

Kenapa? Kerana kita ingin membentuk peribadi positif yang menjadi asas kejayaan. Supaya kita tidak berada dalam kehidupan palsu yang terpengaruh dengan dunia sekeliling kita. Ia membebankan kita memilih sesuatu yang bukan bahagian kita. Kita cenderung untuk lari dari masalah.

Bayangkan jika kita mencorakkan kehidupan palsu, segala keputusan yang bakal kita buat adalah berasaskan kepalsuan. Cara hidup kita, rakan-rakan taulan, pengaruh, bahkan keseronokan dan kebahagiaan kita menjadi tiada nilainya. Bukanlah kualiti yang kita dapat, hanya kuantiti.

Kecenderungan untuk berbohong boleh mempengaruhi keputusan kita. Sedikit sebanyak ia boleh menggugat kehidupan kita. Apatah lagi jika keputusan tersebut biasanya kontra dengan pembohongan yang dilakukan. Ia sebenarnya hadir buat sementara waktu. Lama- kelamaan ia akan lenyap begitu sahaja. Mereka yang terlibat sudah tidak lagi mengingatinya sehinggakan ingatan kita sendiri mula pudar tentang apa yang kita telah ungkapkan. Tapi apa masih tinggal adalah pilihan kita suatu masa dahulu yang masih berlegar-legar menanti masa kemunculannya.

Jika renungan ini membuatkan kita tersentak dan mulai tersedar atas apa yang dilakukan, syukur. Kita masih belum terlambat untuk mengubahnya.

Perbaikilah kesilapan tersebut selagi diberi kesempatan. Ya, kita adalah manusia biasa yang sentiasa melakukan kesilapan. Semoga segala onak duri yang kita lalui dapat dirawat dengan terbinanya peribadi positif. Jiwa menjadi lebih bersih dan tenteram dalam kehidupan yang bahagia.

Penutup

Kesimpulannya, jika baik pilihan keputusan kita, maka kita sedang berada dilandasan yang betul biarpun menghadapi kegagalan dalam usaha kita. Kita tidak mudah menyesal disebabkan keputusan tersebut.

Bentuklah diri kita ke arah memiliki peribadi positif. Peribadi positif yang terbentuk ini membawa kepada kehidupan yang lebih tulen dan bermakna. Ia menjadi darah daging yang mengisi kebahagiaan hidup kita. Kejayaan yang kita cari selama ini diharapkan mula hadir bersama kebahagiaan ini. Ia bermula dengan pilihan keputusan kita.

Lama- kelamaan, kita akan biasa dengan corak hidup positif. Kita juga akan terbiasa memilih yang positif untuk kita. Pada ketika itu, kita semakin matang dalam memahami keperluan kita yang sebenar. Kita lebih cenderung dengan gaya positif tersebut. Bila kematangan mula terbentuk, kita semakin cekap untuk membuat keputusan.

Diharapkan kita terhindar dari dilema yang mendatangkan keraguan. Dari sekecil-kecil hal, hinggalah sebesar hal yang perlu kita putuskan, kita cekap untuk memilih dengan yakin. Sama ada ‘Ya’ atau ‘Tidak’.

Tiada lagi keraguan di tengah-tengahnya. Itulah yang perlu dan kita harapkan agar terbentuk dalam hati sanubari kita. Kemahiran berfikir dan bijaksana dalam membuat keputusan.

Binalah ia dengan peribadi yang positif. Peribadi ini boleh terbentuk melalui cara berfikir yang betul. Ia saling berkait rapat antara satu sama lain.

Akhir kata, marilah kita bersama-sama mengangkat, menyokong dan mendukung pengaruh positif ini dalam membentuk peribadi. Alangkah indahnya jika kita menjalani kehidupan harian dalam komuniti dan ‘circle’ yang positif. Ayuh kita sebarkan kebaikan bersama-sama. Bawalah aura positif ini ke mana sahaja. Di sini, saya mengalu-alukan kehadiran anda semua.

Sekian, terima kasih. .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *