Jalani Kehidupan Yang Berkualiti Dengan Mengurus Masa Seperti Ini – Seni Rahsia Menyusun Waktu

Urus masa, Jaga Jiwa

Ada waktunya kita merasakan seperti tiada ketenangan pada jiwa.

Hari-hari yang berlalu membawa rasa kekosongan. Sedih, pilu, bosan, tiada arah, bimbang dan tiada ketenteraman. Ada kalanya, kehidupan membawa kita melalui penderitaan dan tekanan.

Tanpa kita sedari, sebenarnya hati kecil kita selalu berbisik mengingatkan kita. Membuatkan seluruh tubuh kita bertindak balas dengan bisikian tersebut. Itulah kata hati yang benar. Ia mengingatkan kita akan sesuatu.

Seringkali ramai yang menepis rasa ini sehingga ia lenyap dalam jiwa yang sedang keliru memilih jalan mana hendak dituju.

Gerak hati ini bukanlah bisikan kosong yang meragukan kita. Ia lahir dari jiwa yang inginkan ketenangan dan ketenteraman.

Dan di sinilah kita mula sedar akan sesuatu. Bahawa perjalanan masa bukan sekadar tentang beredarnya waktu, tetapi ia berkait dengan cara kita memilih keputusan harian yang membentuk kualiti hidup.

Masa adalah suatu ciptaan tuhan yang amat berharga kepada kita. Masa yang telah berlalu tidak boleh ditukar ganti walau sesaat. Ia akan pergi meninggalkan kita.

Ibarat air yang mengalir deras, dari hulu ke muara. Tidak terhenti walau seketika. Beruntunglah sesiapa sahaja yang mengambil manfaat darinya. Jika tidak, ia mengalir begitu sahaja. Tiba waktunya, habislah ia. Kering kontang tiada sisa.

Masa tidak menunggu, hanya kita yang kadang terhenti.

Perjalanan masa seakan-akan terasa sangat pantas jika kita tidak menguruskannya dengan baik. Ada kalanya, masa juga boleh terasa seperti bergerak perlahan. Lebih- lebih lagi bagi yang sedang menantikan sesuatu.

Bersama-sama peredaran masa yang berlaku, tenaga dan tahap kewangan juga saling berkait rapat antara satu sama lain membuatkan kita sedikit tersimpang dari arah perjalanan yang kita lalui.

Ketika usia remaja, kita memiliki masa dan tenaga yang banyak. Membuatkan kita mula bosan dan sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baharu. Namun, kita tidak memiliki kewangan yang kukuh yang membuatkan kita terhenti seketika.

Apabila meningkat dewasa, kita mula mencapai kematangan dan memasuki alam pekerjaan, seterusnya alam perkahwinan. Pada ketika ini, dengan pekerjaan atau aset yang kita miliki, kita sudah ada kuasa untuk membeli. Ini bermaksud kita sudah punya wang yang dahulunya kita tiada. Kita mampu membeli jika berkehendak akan sesuatu.

Dengan tenaga yang masih muda, kita gagah untuk bertindak. Namun, saat ini kita mula sedar, segala yang telah kita miliki, kita tidak dapat menggunakannya dengan baik kerana kita kesuntukan masa.

Suatu masa nanti, kita akan mendapat kembali jumlah waktu yang banyak pada usia tua. Kebiasaannya, kewangan kita lebih stabil dan semakin bertambah aset kita. Hutang juga sudah habis dibayar. Cuma……

Kita sudah tidak segagah dahulu. Tenaga kita semakin berkurangan.

Sebab itulah, saya sarankan untuk kita bersama-sama menghargai masa yang sedang kita lalui tidak kira pada peringkat umur apa pun kita kerana masa ini adalah peluang atau kesempatan yang sedang dan masih diberi oleh Tuhan kepada kita.

Di sinilah seni rahsia menyusun waktu bermula. Ia juga seni menjaga jiwa.

Dengan mengurus masa sebaiknya, kita akan mula mendapat dan merasai kualiti masa yang berlalu.

Ramai di antara kita bijak menggunakan masa, mereka bijak juga membahagi masa dengan betul. Namun, masih ramai juga yang gagal membahagikan masa dengan baik sehingga mereka merasakan seperti tidak cukup masa. Ada yang merasakan cepatnya masa berlalu.

“Aduhai, cepatnya… Tak sempatlah nak buat kalau macam ni..”

Begitulah rungutan yang sering kita dengar. Lebih teruk lagi, jika masa yang disia-siakan itu tersangatlah lama. Ini boleh menjejaskan aktiviti menjalani kehidupan seharian.

Jika kita gagal mentadbir masa dengan baik, ia boleh membawa kepada kesempitan waktu, penyesalan, terlepas peluang keemasan bersama keluarga, terlepas juga peluang lain seperti peluang menjana kewangan, ruang riadah untuk diri, ruang kesihatan dan banyak lagi.

Ia berlaku setiap hari. Oleh itu, uruslah masa dengan sebaik-baiknya. Bermula dari langkah kecil ini, ia mapu membawa impak yang lebih besar dalam kehidupan anda.

Di ruangan ini, saya ingin membincangkan beberapa rahsia kecil bagaimana untuk membahagikan masa dengan baik.

Saya mengamalkan kaedah ini yang pernah diajar oleh seorang guru saya suatu masa dahulu sehingga ke hari ini. Ya, saya sendiri merasai kebaikannya.

Saya dapat membahagikan masa dengan lebih baik. Hal ini membuatkan saya menjalani kehidupan yang lebih berkualiti dan teratur. Mudah-mudahan perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua

Setiap insan dianugerahkan 24 jam sehari

Mari kita bahagikan masa 24 jam sehari kepada 3 bahagian utama dalam kehidupan kita, iaitu :

  • Produktiviti / Kerja
  • Rehat
  • Riadah

3 bahagian utama ini diberi tempoh sebanyak 8 jam setiap satu. Ia boleh dilihat sebagai suatu kerangka hidup yang seimbang.

8 jam (kerja) + 8 jam (riadah) + 8 jam (rehat) = 24 sehari. Biasanya, ini adalah pecahan besar atau umum dalam hidup kita seharian.

Walau bagaimana pun, setiap 1/3 masa yang dibahagikan tersebut masih lagi fleksibel untuk kita olah. Ia bergantung juga dengan keperluan kita seharian.

3 perkara ini boleh dikatakan sudah merangkumi sebahagian besar perjalanan kita dalam menelusuri masa melalui kehidupan seharian. Mari kita huraikan satu persatu mengenai 3 perkara utama ini.

1. Produktiviti / Kerja

Produktiviti/ Kerja di sini bermaksud semua jenis tugasan utama atau pekerjaan harian yang kita lakukan dalam membina sumber pendapatan, iaitu mencari rezeki pendapatan.

Antara tugasan utama ini termasuklah kerja, projek, bisnes, penulisan, trading saham, mahu pun belajar, atau apa saja yang membina dan memberi nilai kepada kita. Bahagian ini membawa kepada pencapaian dan arah. Ia juga merupakan sebahagian besar yang perlu kita fokuskan dalam kehidupan seharian.

Kita perlu membahagikan 1/3 dari masa 24 jam yang dianugerahkan untuk membuat pekerjaan. Kebiasaannya, ramai yang bekerja 8 jam sehari. Ini tidak menjadi masalah, kerana masa yang telah diperuntukkan untuk bekerja sememangnya telah mencukupi kuota 8 jam tersebut. Selesailah sudah satu hal penting yang perlu diberi tumpuan.

Andai ia berlalu pergi tanpa sebarang tindakan dari kita, tanpa pekerjaan yang kita lakukan untuk mencari kejayaan dan kebahagiaan dalam hidup, jiwa kita akan mula kosong. Kejayaan yang menanti di hadapan juga akan mula pergi meninggalkan kita disebabkan penyakit malas sudah mula menjangkiti kita.

Hal ini tidak sama keadaannya dengan mereka yang masih mencari pekerjaan atau sedang berusaha untuk membina kejayaan walau pun tidak bekerja. Ini kerana usaha yang mereka lakukan itulah namanya produktiviti atau kerja.

Begitu juga usahawan di luar sana yang menjalankan perniagaan sendiri. Mereka juga sedang melakukan tugasan pekerjaan di mana ada keutamaan yang perlu diberikan dan memerlukan jumlah masa yang besar dalam kehidupan seharian. Merekalah ‘bos’ yang menentukan hala tuju perniagaan. Masa mereka lebih fleksibel dan tidak terikat seperti orang yang bekerja dengan majikan.

Namun, jika inginkan kualiti dalam kehidupan, mereka juga perlu membahagikan masa dengan baik.

Ada juga yang kerja 12 jam sehari kerana kontrak pekerjaan yang telah dipersetujui begitu. Bagaimana pula dengan keadaan mereka?

Masa 8 jam yang diperuntukkan supaya kehidupan lebih seimbang dan berkualiti bagaikan tidak mencukupi. Mereka perlukan lagi baki sebanyak 4 jam lagi untuk menghabiskan kerja seharian.

Jika begini keadaannya, ingat, pembahagian masa masih fleksibel mengikut keperluan kita.

Jadi, teruskanlah bekerja kerana lebih baik bekerja dari tidak melakukan pekerjaan. Inilah yang dinamakan pengorbanan, di mana pengorbanan ini ada harganya yang akan dibayar kelak.

2. Rehat

Perkara besar kedua yang memerlukan 8 jam dari masa kita seharian adalah rehat. Dengan rehat yang berkualiti, ia memberi kita fokus untuk hari seterusnya. Setelah penat bekerja, kita memerlukan rehat yang cukup. Ambillah 8 jam ini untuk kita beri tumpuan sepenuhnya. Pastikan rehat kita berkualiti.

Bagi yang bekerja pada siang hari, waktu rehat yang terbaik adalah pada waktu malam.

Jika tiada sebarang halangan, persiapkan diri untuk tidur seawal jam 10.00 malam. Sebolehnya, kita sudah pun tidur apabila memasuki jam 10.00 malam. Tujuannya adalah seperti mendapatkan lajak persediaan waktu tidur yang sebenar kerana kualiti sebenar akan kita dapat ketika jam 12.00 tengah malam dalam keadaan kita telah nyenyak tidur.

Pada jam 12.00 tengah malam, secara semula jadinya, tubuh kita menjadi sangat lemah dan memerlukan rehat. Itulah jam biologi tubuh kita.

Bagi mereka yang bekerja malam pula, bagaimana? Ya, anda tidak dapat berehat pada jam 10.00 malam kerana menjalankan amanah kerja. Tidak mengapa, pastikan anda mendapatkan rehat yang cukup selepas waktu bekerja.

Bagi yang berkemampuan untuk mengatur waktu rehat, usahakanlah agar dapat berehat pada waktu yang betul kerana ia lebih berkualiti. Ingat, kita mencari kualiti, bukan kuantiti waktu semata-mata. Jika berkualiti, kuantiti ini akan menjadi pelengkap masa rehat kita.

3. Riadah

Setelah 2/3 waktu yang anda miliki telah diperuntukkan bagi produktiviti dan rehat. Sekarang ia masih berbaki 8 jam sehari. Inilah hakikat waktu seharian yang masih tinggal.

Bagaimanan seseorang menggunakan 8 jam riadah?

Bahagian ini lebih fleksibel untuk kita olah, tetapi ia amat bermakna buat kita. Ini juga bahagian penting dalam menjaga jiwa. Maka, uruslah ia sebaik-baiknya. Anda perlu mengenali diri sendiri dengan lebih dalam. Bagaimana seorang ibu bekerja boleh mengolah masa dengan baik? bagaimana seorang pelajar menyesuaikan 8 jam produktiviti dengan masa riadah? Carilah ruang untuk jiwa bernafas dengan tenang. Buat keputusan dengan baik, tepuk dada, tanya jiwa. Apakah yang sebenarnya?

Carilah ia dalam diri sendiri.

Baki masa 8 jam ini perlu kita fokuskan untuk riadah. Tanpa riadah, hidup kita tidak seimbang. Adakah kita hidup hanya untuk bekerja?

Riadah berfungsi untuk menjaga keseimbangan sosial, emosi, rohani dan fizikal kita.

Keseimbangan sosial ini seperti hubungan kita dengan ahli keluarga dan komuniti. Emosi pula melibatkan perasaan kita. Kita perlukan kegembiraan, kebahagiaan, ketenangan juga keseronokan.

Ini semua boleh didapati dalam riadah. Keseimbangan rohani melibatkan spiritual kita. Kita ingin beribadah, melakukan hal-hal yang diajar dalam agama. Ada juga yang melakukan meditasi.

Antara kebaikannya, kita boleh menerapkan rasa tenang dalam jiwa. Manakala keseimbangan fizikal pula adalah jasmani dan tahap kesihatan kita. Kita perlu melakukan aktiviti fizikal seperti senaman, berjalan, bersukan sama ada ringan mahu pun sukan lasak, atau hobi yang menyeronokkan.

Di samping menyihatkan tubuh badan, ada banyak kebaikan lain dengan beriadah. Melakukan aktiviti fizikal juga boleh memberi ketenangan jiwa selain dari beribadah mahu pun bermeditasi. Produktiviti dan fokus juga boleh meningkat.

Sebenarnya, 8 jam ini adalah mencukupi jika kita bijak menggunakannya. Dalam konteks ini, riadah merangkumi pelbagai aktiviti harian yang bermanfaat.

Penutup

Beginilah sudut pandang saya terhadap pembahagian masa. Seperti yang saya nyatakan, kaedah ini diajar oleh seorang guru yang bijaksana suatu masa dahulu.

Pada mulanya, saya agak teruja, tetapi kurang memahami. Namun saya tetap mengamalkannya sehinggalah saya sedar dengan lebih mendalam. Walaupun nampak seakan perkara kecil pada mulanya, ia sebenarnya memberi impak yang besar dalam hidup saya.

Langkah kecil ini adalah kemenangan… Kemenangan dalam perjalanan menuju destinasi hidup.

Saya konsisten mengamalkannya membuatkan saya menuju keseimbangan menjalani kehidupan seharian. Ilmu ini juga mengajar saya untuk terus fokus dan membantu saya membuat keputusan dengan lebih baik

Masa bukan sekadar angka… Ia juga mencerminkan pilihan yang kita lakukan setiap hari…

Oleh itu, utamakan dahulu perkara yang perlu diutamakan. Susun aturkan tindakan kita mengikut keutamaan.

Aturan mengikut keutamaan ini antara rahsia penting yang saya juga jadikannya sebagai prinsip hidup. Susunan ini sedikit sebanyak membantu kita membahagikan masa dengan bijak dan teratur.

Akhir kata, masa yang kita bahagikan bukan sekadar jadual. Ia adalah seni menjaga jiwa, seni mengurus hidup. Biarlah kerja memberi arah, rehat memberi tenang, riadah memberi hidup.

Senirahsia mengingatkan kita – setiap bahagian adalah langkah kecil menuju keseimbangan, dan perjalanan ini sentiasa terbuka untuk diteruskan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *