
Pernah terfikir untuk berubah? Atau perbaiki diri?
Dari hari ke hari kita inginkan kewujudan kita semakin berkualiti. Kita inginkan hidup yang bermakna. Setidaknya, hari ini lebih baik dari semalam. Begitulah juga untuk hari-hari yang seterusnya.
Atau kita pilih untuk berada di takuk lama. Bukan itu saja, kadang-kadang semakin menjunam kualiti hidup kita. Maka, apa pilihan kita?
Ada suatu masa dalam hidup di mana kita mula sedar bahawa tidak semua perkara perlu dijelaskan.
Bukan kerana kita mahu berahsia.
Bukan kerana kita mahu nampak kuat.
Tetapi kerana kita akhirnya faham bahawa perjalanan diri bukanlah untuk difahami oleh semua orang.
Kita pernah cuba berubah. Kita pernah cuba memperbaiki diri. Hari demi hari kita cuba menjadikan hidup ini lebih berkualiti – walaupun perlahan, walaupun kecil. Kita mahu terus maju ke hadapan membawa kebaikan.
Namun ada juga hari di mana kita jatuh. Ada hari di mana kualiti hidup kita menjunam tanpa kita sedar. Dan di antara jatuh dan bangun itu, kita hanya ada dua pilihan – baik atau buruk.
Sudah tentu kita ingin pilih yang baik berbanding buruk. Kita berusaha sehabis baik. Seiring dengan akal dan minda positif, ingin mengurangkan kemudaratan dan tidak memberi sebarang gangguan kepada orang lain. Bukan juga memilih jalan pintas yang membawa mudarat di kemudian hari.
Yang peliknya…… Orang sekeliling jarang nampak perjalanan itu.
Mereka hanya nampak perubahan luaran.
Mereka meneka.
Mereka menilai.
Mereka membina cerita sendiri.
Dan…. Di sinilah kita diuji….
Adakah kita mahu menjelaskan semuanya? Adakah kita mahu mempertahankan diri? Atau, adakah kita mahu membetulkan persepsi yang tidak pernah kita minta?

Saya pilih untuk tidak menjelaskan.
Kerana saya sedar satu perkara.
Penjelasan tidak akan mengubah persepsi orang yang sudah memilih untuk tidak memahami.
Dan lagi satu…..
Perubahan diri lebih mudah dijaga dalam diam berbanding dalam perhatian manusia.
Diam bukan bermaksud kita kalah.
Diam bukan bermaksud kita lemah.
Diam adalah ruang untuk kita membina diri tanpa gangguan.
Diam adalah cara kita menjaga hati daripada penjelasan yang tidak perlu.
Akhirnya, yang menanggung hidup ini adalah kita – bukan mereka. Dan itu sudah cukup untuk saya memilih jalan yang lebih tenang.
