Setiap dari kita menjalani sebuah kehidupan yang berbagai bentuk dan corak. Masing-masing berada dalam bekas hidup tersendiri — pengalaman, latar dan perjalanan yang membentuk siapa kita. Bekas ini uni dan pelbagai.
Di dalamnya juga terkandung bermacam- macam keadaan rasa.
Namun, di antara bekas yang berbagai ini, ada juga persamaan yang kita tidak dapat lari daripadanya. Ia mengandungi cubaan yang menguji.
Maka inilah titik persamaan antara satu sama lain — ujian.

~Gambar janaan AI~
Kita tidak dapat lari dari ujian walau macam mana senang keadaan kita sekali pun.
Ujian yang datang sedikit sebanyak akan menggugat emosi kita.
Ujian datang dalam pelbagai bentuk — ada yang ringan, ada yang berat, ada yang memenatkan jiwa.
Terkadang ia mudah. Ada waktunya agak payah. Kadang-kadang agak rumit, berat, ringan, penantian yang panjang, kesedihan, kelelahan dan sebagainya.
Soalnya, sejauh manakah kita bersedia untuk menjaga emosi saat kita diuji?
Kerana ujian yang datang adalah mengikut kadar kita. Bukannya di luar kemampuan kita.
Jadi, patutkah kita mengalah dan berputus asa?
Sudah tentu tidak!
Ya, inilah semangat yang perlu ada. Dalam konteks perbincangan ini, saya ingin kongsikan sesuatu yang pernah saya temukan tidak lama dahulu. ‘Sesuatu’ ini saya rasakan seperti salah satu cabang senirahsia yang saya amalkan. Saya menemuinya bukan dengan terlihat atau terjumpa. Ia datang melalui rasa yang akhirnya membawa kefahaman. Namun sukar untuk dijelaskan.
Saya dapat rasakan ‘sesuatu’ ini melalui latihan harian yang selalu saya lakukan.
Pada mulanya ia hanyalah senaman biasa untuk meningkatkan stamina. Kemudian, saya mula berjinak-jinak dalam dunia larian. Maka saya mula berlatih untuk berlari jarak jauh. Lama- kelamaan, saya merasakan ada sesuatu di sebalik larian saya. Semakin hari saya semakin faham, rupa- rupanya ia jadi terapi untuk diri saya. Sehinggakan saya suka berlari. Jadi, saya namakannya ‘falsafah berlari’
Berlari Memberi Tenang

~Gambar janaan AI~
Saya tidak pernah merancang untuk menjadikan larian sebagai terapi.
Saya cuma berlari.
Dan tanpa saya sedar, tubuh mengajar saya sesuatu :
— ada masalah yang tidak boleh diselesaikan dengan fikiran, tetapi boleh reda bila kaki mula melangkah.
Saya pernah menulis satu ayat, tanpa saya sedar ia akan menjadi falsafah hidup saya sendiri :
“Running away doesn’t solve any problem. But ‘running’ is a way to solve some problems.”
– pengembara misteri –
Saya tidak cipta ayat untuk nampak bijak.
Saya cipta kerana saya rasa sesuatu — dan tubuh saya sendiri mengesahkan kebenarannya.
Lari dari masalah memang tidak menyelesaikan apa-apa. Tetapi berlari secara fizikal menyelesaikan banyak perkara dalam diri :
- ia menenangkan sistem saraf,
- ia mengurangkan tekanan,
- ia memberi ruang untuk bernafas,
- ia membina sabar,
- ia membersihkan fikiran,
- ia melepaskan emosi yang tidak mampu kita luahkan dengan kata- kata
Ada masalah yang tidak boleh kita selesaikan dengan duduk diam.
Ada tekanan yang tidak boleh hilang dengan berfikir.
Ada beban yang hanya boleh reda bila tubuh bergerak.
Berlari bukan lari dari masalah. Berlari adalah cara kita kembali kepada diri sendiri. Kembali dengan kebangkitan dari dalam. Ia memberi nafas baharu.
Dan setiap kali saya berlari, saya sedar satu perkara :
Ketenangan bukan semata- mata datang dari luar — ketenangan boleh datang dari dalam diri melalui langkah kecil yang kita ulang hari demi hari.
Ia datang membawa kekuatan baharu,
tanpa sesiapa perlu tahu,
tanpa sesiapa perlu faham.
Kerana tenang itu suatu nikmat besar dalam hayat kita baik di dunia mahu pun akhirat. Ia untuk dirasai, bukan untuk dikongsi kepada yang iri.
Tidak semua akan senang dengan tenang yang kita miliki. Maka kita perlu berhati-hati.
Berlari dapat menstabilkan emosi dan jiwa kita. Di samping menyelesaikan banyak perkara seperti yang saya nyatakan sebelum ini, berlari sebenarnya membantu melancarkan aliran darah dalam tubuh kita. Ia menyihatkan tubuh badan. Di mana tubuh yang sihat mendorong kepada minda yang cerdas. Hal ini dapat mempengaruhi tingkah laku kita. Kajian juga menunjukkan bahawa aktiviti aerobik seperti berlari dapat meningkatkan serotonin dan dopamin di mana serotonin dapat meningkatkan mood positif dan mengurangkan keresahan. Manakala dopamin pula penting untuk motivasi.
Di sinilah juga terkandung senirahsia berlari yang ingin saya kongsikan.
Tenang Membina Fokus
Keutamaan kita adalah untuk menstabilkan emosi. Kita perlu mengawal emosi tatkala kita diuji. Kuatkanlah diri dengan berlari.
Emosi yang kita kuasai ini bukan semata- mata dengan menahan. Seiring dengan kesabaran yang meningkat, sebenarnya dipengaruhi oleh kekuatan kita yang turut sama melonjak. Kekuatan dan stamina ini datang hasil tabungan kita dengan berlari. Dengan kekuatan ini kita juga mampu menahan, sedang keadaan emosi kita tidak pun tergugat. Walaupun sebenarnya ujian itu berat.
Ya, seperti yang saya nyatakan sebelum ini, berlari dapat membersihkan fikiran dan mengalir keluar melaluinya bebanan yang memberi tekanan. Juga dapat merungkai kekusutan yang membelenggu jiwa. Hasilnya, ketenangan yang muncul. Maka, kekuatan tadi menjadi bonus buat kita.
Selain itu, bekas kehidupan yang bercelaru tadi mula terkawal dan kembali ke pusat gravitinya menjadikannya seimbang. Corak kecelaruan yang terlalu tidak menentu itu kembali stabil dan tenang. Mungkin kita sudah melepaskan sedikit beban yang tidak perlu yang berpaut pada fikiran kita. Ia membuatkan fikiran kita tenang dan ringan.
Melepaskan tidak bermakna kita melupakan, cuma ia tidak perlu untuk difikirkan — kerana masalah kita sudah terlalu banyak untuk kita fikirkan.
Hal ini membuatkan kita mampu mencari jalan penyelesaian dengan lebih baik.
Jangan yang lebih baik, bahkan yang terbaik.
Bilakah kali terakhir anda brlari untuk menyihatkan atau menenangkan diri?
Ayuh, tinggalkan sebentar kesibukan dan kekusutan, cuba berlari. Sediakan ruang waktu dengan baik, kita akan menemuinya. Ketika tekanan kerja menimbun, saya berlari pada waktu senja. 20-30 minit sudah memadai.
Larian jarak sederhana 30 minit sudah cukup untuk menstabilkan hormon stress.
Inilah kesan tenang yang mampu membina fokus.
Fokus Meningkatkan Prestasi
Dengan akal fikiran dan minda yang positif, kita sudah memiliki otak cerdas dan fokus. Ditambah pula dengan kekuatan baharu dalam diri, kita sebenarnya sudah berevolusi ke suatu tahap yang lebih matang dan kuat. Bukan berubah menjadi orang lain, karakter tetap sama, tapi kekuatan baharu yang tersimpan sangat berharga.
Ibaratnya bukan kulit di luar sahaja yang nampak cantik, isi di dalam juga segar tak terkira.
Pda tahap ini, segala tekanan yang datang dapat kita hadap dengan tenang. Kita mampu bertindak dengan waras dan bijaksana. Tidak cukup dengan akal yang bijak, kita harungi dengan fizikal yang kuat, ia menjadikan kita kental, bersemangat dan jauh dari putus asa.
Begitulah ukuran prestasi kita yang meningkat bersama semangat kita.
Kenapa? Kerana kita membinanya.
Dengan berlari yang melancarkan aliran darah kita, fizikal kita menjadi tahan dan kuat. Kecergasan kita meningkat. Kesihatan kita lebih terjaga.
Kesimpulannya

~Gambar janaan AI~
Kita perlu mencari ketenangan dalam hidup kita. Tenang itu suatu nikmat tidak terhingga. Jiwa-jiwa yang ada ketenangan dalam hati mereka senantiasa waras dan rasional. Jiwa- jiwa ini membentuk insan yang memiliki mentaliti tinggi dan hebat.
Dengan ketenangan, kita tidak mudah terpengaruh dengan emosi. Ia memberi nilai tambah dalam membuat keputusan.
Keputusan bijak yang dibuat dengan jiwa yang tenang dapat meminimumkan penyesalan. Jauh lagi memudaratkan. Terutama diri, keluarga dan masyarakat. Jika tenang terus diamal dan diterapkan dalam hati terus menerus, tidak mustahil kita dapat membina komuniti yang bersifat tenang lagi menenangkan.
Berlari dengan niat untuk membina stamina dan mempertingkatkan kemampuan diri, boleh membina ketenangan dalam diri.
Dengan tenang ini juga kita mampu menguatkan daya fokus sekaligus meningkatkan prestasi. Tidak kira apa situasi sekalipun, kita mampu memberi yang terbaik dan berkualiti.
Namun, harus diingatkan agar sentiasa berhati-hati. Jangan terlalu memaksa diri. Nanti lain pula yang terjadi. Asalnya, berlari yang dapat menyihatkan, bertukar menjadi kemudaratan yang menyakitkan.
Bagi sesetangah individu, ketenangan yang dimiliki sangat bernilai harganya. Dengan memiliki hati dan jiwa yang tenang, tidur malam terasa senang. Hati bertambah riang, bahagia turut bertandang.
Dalam sesebuah komuniti pula, ketenangan dapat mententeramkan. Komuniti yang tenang suatu idaman. Kehidupan bertambah aman, dalam kelompok yang ada persefahaman. Kerana kebijaksanaan mengawal fikiran, tidak mudah mengikut perasaan, saling membantu ketika datangnya ujian.
Marilah bersama-sama membina ketenangan di samping menjaga kesihatan.
Senirahsia mengingatkan, berlari dapat membina kesabaran. Sehingga membentuk kekuatan diri luar dan dalam. Jadilah seseorang yang kuat dan penuh daya tahan. Agar segala ujian dapat ditempuh dengan tenang.
