Duit Dan Harga Sebuah Ketenangan — Seni Berdamai Dengan Duit

~Apabila duit menjadi beban jiwa~

Duit, sesuatu yang berharga dan ada nilainya. Dengan duit, kita dapat melakukan urusan jual beli yang sememangnya lumrah dalam kehidupan kita. Ia suatu keperluan yang melancarkan urusan kita jika digunakan dengan sebaiknya.

Maka, kita tidak lari daripada mencari rezeki yang berbentuk duit. Ia bahan maujud yang nyata dan mudah ditafsirkan sebagai salah satu cabang rezeki yang majoriti dalam kalangan manusia menggunakannya.

  • Ramai orang perlukan duit
  • Kehidupan moden memerlukan duit
  • Kita bekerja untuk mendapatkan duit
  • Kita berniaga juga untuk mendapatkan duit

Kita berusaha membina. Penat lelah dan keringat kita keluarkan demi mencari rezeki ini. Ada kalanya, amat memeritkan. Jatuh bangun, jerit perih kita hanya tuhan yang mengetahui. Ada yang pernah terjun jatuh hingga ke dasar, bagai tiada harapan. Namun, masih berdiri untuk mencari jalan kembali. Itu bagi yang berusaha. Membina masa depan yang senang.


Bagaimana pula mereka yang sudah memiliki? Kelihatannya seperti,

“Beruntungnya mereka! Tak perlu susah-susah. Boleh beli macam-macam.”

“Orang kaya, ada modal. Dengan duit, mereka buat duit lagi.”

Namun, dalam keasyikan kita berfikiran begitu, ada juga yang terasa kosong, resah, gelisah dan seperti tidak membahagiakan. Duit sudah ada, tapi…. Kenapa?

Bukan sebab duit itu jahat.
Bukan sebab ada duit itu tidak bagus.
Bukan juga orang kaya tidak bahagia.
Bukan juga bermaksud jangan kejar duit.

Sebenarnya…

Duit ialah alat.
Kita perlukan duit.
Kita perlu bekerja.
Kita perlu membina kehidupan.

Tidak salah untuk kaya dengan duit.

Persoalannya, apabila seseorang yang memiliki lebihan rezeki, misalnya duit yang lebih, akhirnya terdorong untuk dilepaskan sebahagiannya agar jiwa kembali stabil.

Mungkin ini yang mendorong seseorang untuk mula bersedekah atau sesuatu yang memanfaatkan orang lain. Ada yang mewakafkan harta, membantu masyarakat, juga membina sesuatu untuk generasi seterusnya.

Kerana jiwa manusia bukan sekadar mengumpul, ia juga mahu memberi.

Jika itu yang diamalkan, baguslah.

Tangan yang hanya mahu menerima tanpa memberi, ada ketika membuatkan hati terasa kosong.

Ada juga yang memilih untuk mengisi kekosongan tersebut melalui pelbagai bentuk hiburan dan perbelanjaan. Namun ketenangan yang dicari tidak semestinya ditemui melalui perkara tersebut. Ada kalanya hati memerlukan sesuatu yang lebih bermakna daripada sekadar keseronokan yang bersifat sementara.

Tidak salah menikmati hasil usaha sendiri, namun ia mungkin tidak menyelesaikan apa yang sedang dirasai di dalam hati. Jika tidak dikawal, kita mungkin terus mencari sesuatu di luar diri tanpa kita sedari sedangkan perkara yang perlu diperbaiki sebenarnya berada di dalam diri.

Setiap orang memiliki kemapuan yang tersendiri dalam menanggung rezeki duit.

Ada yang dianugerahkan kaya raya, ada yang sederhana, ada yang miskin. Semua itu adalah berbentuk ukuran dari sudut jumlah duit.

Itulah kapasiti setiap dari kita.

Kemampuan kita adalah berkait rapat dengan kadar yang ditentukan tuhan.

Jika diizinkan, kita mampu menanggung jumlah duit yang banyak. Juga dengan izinNya, kita hanya mampu menanggung jumlah duit yang sedikit. Hakikatnya , banyak atau sedikit itu hanyalah tafsiran kita.

Tuhan Yang Maha Adil amat mengetahui apa yang ditentukanNya.

Senirahsia mengingatkan untuk memilih jalan yang betul.

Semakin dewasa, kita mula menyedari bahawa bukan kurangnya duit yang paling menakutkan. Sebaliknya, hubungan yang tidak sihat dengan duit boleh merosakkan ketenangan hidup seseorang.

Artikel pada kali ini bukanlah mengajak pembaca menjadi :

  • Anti duit
  • Anti kekayaan
  • Anti usaha
  • Anti bisnes

Jika tidak dikawal, kita akan selalu fikirkan duit.

Jika belum mencukupi, kita fikir untuk mencukupkan. Jika sudah memiliki, kita masih berfikir untuk menambah jumlahnya pula.

Soalnya, sampai bila? Jika ukuran ketenangan diletakkan pada jumlah duit semata-mata, maka ketenangan itu akan sentiasa bergerak menjauhi kita. Apabila sasaran lama dicapai, sasaran baharu pula muncul. Akhirnya kita sentiasa mengejar, tetapi jarang berhenti untuk merasa cukup. Tidak kira kaya atau miskin seseorang itu.

Sebenarnya ia boleh menjadi beban yang meruntun ketenangan.

Jiwa boleh menjadi resah, hati gundah gulana, fikiran bercelaru, akal menjadi tumpul, tindakan tidak betul. Bagaimana kehidupan kita jika begitu? Baik yang belum memiliki, atau yang sudah memilikinya.

Jika terus memikirkan duit, ia membelenggu jiwa kita. Tanpa kita sedari, ia boleh menjerat lalu mengawal kita.

Bagi yang sudah memiliki duit yang banyak, ketenangan juga bukanlah bermaksud perlu menghabiskan duit yang dimiliki. Tidak salah memiliki jumlah duit yang banyak.

Maka, inilah seni berdamai dengan duit.

Masalah bukan pada duit yang banyak atau sedikit. Masalah bermula apabila ketenangan hidup bergantung sepenuhnya dengan jumlah duit yang dimiliki.

Duit juga suatu keperluan — Jangan sampai tergadai ketenangan

Tanda- Tanda Duit Sudah Menjadi Beban Jiwa

Kadangkala jiwa terbeban bukan disebabkan kurangnya duit atau banyaknya duit. Sebaliknya, ia bermula apabila hubungan kita dengan duit mula menjadi tidak sihat.

Pada ketika itu, duit tidak lagi sekadar alat untuk menjalani kehidupan, tetapi mula menguasai pemikiran dan emosi kita tanpa disedari.

Berikut merupakan beberapa tanda yang mungkin menunjukkan bahawa duit sudah mula menjadi beban kepada jiwa.

1. Sentiasa memikirkan duit walaupun sedang berehat

Badan berada di rumah.

Namun, fikiran masih bekerja.

Ketika makan memikirkan duit. Ketika bercuti memikirkan duit. Ketika bersama keluarga memikirkan duit.

2. Tidur tidak lena

Saat mata mula terpejam, terlintas sesuatu di hati. Otak kembali aktif dan mula berfikir. Tentang duit. Maka, bermulalah monolog dalaman menjelang waktu tidur.

Apa yang hendak dibuat?
Bagaimana hendak dibuat?
Bila hendak buat?

Segalanya perancangan tentang duit.

3. Sentiasa membandingkan diri dengan orang lain

Ada kalanya, kita sudah memenuhi keperluan kita. Kita perlukan kediaman, kita mampu membeli sebuah rumah. Kita perlukan kenderaan, kita sudah mampu membeli motosikal dan kereta. Kita perlukan pakaian, kita mampu menyediakannya. Namun, kita masih melihat :

  • kereta orang lain
  • Rumah orang lain
  • Percutian orang lain
  • Perniagaan orang lain

Bahkan, macam-macm lagi. Dan kita memikirkan tentang duit yang kita ada. Bermacam hal bermain di fikiran tentang duit.

4. Sukar menikmati apa yang dimiliki

Sebenarnya, sepanjang kehidupan kita, kita sudah miliki apa yang telah dianugerahkan.

Setiap orang ada kelebihan, kemampuan dan minat masing-masing.
Hal ini bagai membentuk acuan dalam kehidupan.
Ia mempengaruhi cara hidup kita. Maka, apa yang kita usahakan sebenarnya bersesuaian dengan kita. Kita juga miliki apa yang terbaik untuk kita.

Namun,

Duit sudah bertambah.
Keadaan sudah semakin baik.
Tetapi, hati belum tenang.
Apa yang dimiliki hari ini cepat terasa biasa. Apa yang belum dimiliki pula menjadi fokus utama.

Akhirnya, kita jarang menikmati nikmat yang sudah ada.

5. Takut kehilangan apa yang ada

Berfikir tentang duit sangat sinonim dengan perbuatan menghitung. Kita kerap menghitung aset kita. Semakin banyak memiliki, semakin banyak yang perlu difikirkan untuk dijaga.

Lama kelamaan, jiwa boleh jadi semakin lemah. Tanpa disedari, kita mula membiarkan virus ketakutan merebak di hati.

Kadangkala, ketakutan kehilangan itu lebih besar daripada kegembiraan memilikinya.

6. Berasa kosong, resah dan gelisah

Biasanya kita dengar tentang hati yang kosong boleh membuatkan kita resah dan gelisah. Apa kaitannya dengan duit?

Terlalu memikirkan duit boleh membuatkan mata hati kita mula kabur. Kerana kita sering dikaburi dengan tipu daya duit yang sentiasa berlegar disekeliling kita.

Sedang hati dan jiwa kita mencari ketenangan, makna dan tujuan hidup yang lebih besar daripada sekadar angka dan harta benda.

Bagaimana mungkin untuk menafikan alam bawah sedar kita yang sentiasa jujur.

Inilah yang selalu bergetar dalam lubuk hati kita. Menjadikan jiwa sentiasa rindu akan asal usul diri yang sebenarnya inginkan ketenangan dan makna dalam kehidupan.

7. Duit mula mengaburkan pertimbangan, mengatasi nilai dan prinsip

Ada ketika, kita perlu membeli sesuatu.

Boleh jadi ia suatu keperluan. Mungkin bukan keperluan utama, tapi perlu kita dapatkan supaya dapat digunakan apabila waktu perlu.

Dan, boleh jadi ia sesuatu yang ingin kita dapatkan sebagai terapi jiwa yang terkadang juga inginkan sesuatu.

Namun, hadir pula rasa sayang untuk membelanjakan duit.

Maka apa pula tindakan kita? Adakah kita sanggup mendapatkan yang percuma tetapi tidak memenuhi keperluan tersebut? Atau kita sanggup membuat helah, menumpang atau meminta bantuan orang lain untuk menyelesaikan masalah kita? Tidakkah ia sesuatu yang tidak baik untuk memanipulasikan sesama kita?

Hal ini agak luas untuk dibincangkan.

Dalam dunia digital, ada juga yang sanggup menggunakan perisian cetak rompak dalam menjalankan tugas atau mencari rezeki.

8. Nilai diri mula bergantung kepada duit

Ini antara tanda yang paling bahaya.
Kita mula merasakan:

  • banyak duit = berjaya
  • kurang duit = gagal

Sedangkan nilai seorang manusia jauh lebih besar daripada sekadar jumlah wang yang dimiliki.

9. Tidak pernah benar-benar merasa cukup

Inilah kemuncak kepada semua tanda-tanda yang telah dihuraikan.

Sasaran lama dicapai, sasaran baru pula muncul.
Jumlah lama diperoleh. Jumlah baru pula dikejar.

Akhirnya perjalanan itu tidak pernah berakhir.

Di mana kebebasan hidup kita jika duit adalah segala-galanya? Kita akan mula terikat dengan banyak perkara demi kepentingan duit.

Namun persoalannya, mengapa hal ini boleh berlaku?

Mengapa ada manusia yang tetap merasa tidak cukup walaupun kehidupannya semakin baik?
Mengapa ada yang masih gelisah walaupun telah memiliki lebih banyak daripada apa yang pernah diimpikannya suatu ketika dahulu?

Jawapannya mungkin lebih dekat daripada yang kita sangka.

Setelah melihat bagaimana duit boleh mempengaruhi pemikiran, emosi dan ketenangan hidup seseorang, satu persoalan besar mula muncul.

Persoalan ini mungkin pernah terlintas dalam fikiran ramai orang, tanpa mengira keadaan duit masing-masing.

Mengapakah Duit Tidak Pernah Terasa Cukup?

Fenomena ini berlaku kepada hampir semua orang.
Ada yang sedang berusaha memenuhi keperluan hidup.
Ada yang sudah memiliki rumah, kenderaan, simpanan dan pelbagai aset.

Namun persoalannya masih sama.
Mengapa rasa tidak cukup itu tetap wujud?

Kerana duit sememangnya penting untuk kehidupan. Manusia sering memberikan perhatian yang besar terhadap duit. Namun, apabila perhatian itu tidak lagi seimbang, rasa tidak cukup mula mengambil tempat di dalam hati.

Disebabkan itu, ramai manusia masih merasa tidak cukup walaupun keadaan mereka semakin baik.

Adakah kerana duit yang dimiliki masih terlalu sedikit?
Atau sebenarnya ada perkara lain yang sedang berlaku di dalam hati kita?

Mungkin jawapannya terletak pada hakikat bahawa keperluan manusia ada batasnya, tetapi :

1. Kehendak manusia sering bekembang tanpa disedari

Dulu kita mengimpikan motosikal.
Kemudian kereta.
Kemudian kereta yang lebih baik.
Kemudian rumah.
Kemudian rumah yang lebih besar.
Kemudian simpanan yang lebih banyak.

Keperluan manusia ada batasnya.
Namun kehendak manusia sering berkembang seiring dengan apa yang dimiliki.

2. Perbandingan dalam kehidupan terlalu banyak

Dahulu kita membandingkan diri dengan orang sekeliling, masyarakat, bahkan mungkin dengan jiran.

Hari ini kita membandingkan diri dengan seluruh dunia melalui pelbagai medium dan cara. Melalui media sosial terutamanya.

Apa yang kita miliki mula kelihatan kecil sedangkan suatu ketika dahulu kita pernah bersyukur untuk memilikinya.

3. Ada ketakutan dalam hati terhadap masa hadapan

Sebahagian daripada kita tidak pernah merasa cukup kerana sentiasa risau tentang perkara yang belum berlaku.
Bagaimana jika hilang pekerjaan?
Bagaimana jika sakit?
Bagaimana jika perniagaan merosot?

Perancangan adalah baik. Namun apabila kebimbangan menguasai diri, ketenangan hari ini pula menjadi korban.

4. Mind set yang menjadikan duit sebagai ukuran nilai diri

Pada ketika ini kita mula melihat diri dengan ukuran yang salah.
Lebih banyak duit bermaksud lebih berjaya.
Kurang duit bermaksud kurang bernilai.

Sedangkan kehidupan mempunyai banyak ukuran lain yang jauh lebih besar daripada sekadar jumlah wang yang dimiliki.

Jika diperhatikan ke empat-empat perkara ini kelihatan berbeza. Namun, ia sebenarnya berpunca daripada akar yang hampir sama.

Hati sebenarnya yang kehilangan titik “cukup”

Kita mula kehilangan rasa cukup.

Apabila kehendak berkembang, kita merasa tidak cukup.
Apabila membandingkan diri dengan orang lain, kita merasa tidak cukup.
Apabila takut akan masa hadapan, kita merasa tidak cukup.
Apabila menjadikan duit sebagai ukuran nilai diri, kita juga merasa tidak cukup.

Maka persoalannya bukan lagi berapa banyak duit yang kita miliki, tetapi sejauh mana hati kita mampu mensyukuri apa yang telah diberikan.

Apa ertinya berdamai dengan duit?

Berdamai dengan duit bukan bermaksud berhenti mencari rezeki.
Berdamai dengan duit bukan bermaksud menolak kekayaan.

Berdamai dengan duit bermaksud meletakkannya pada tempat yang betul.
Berdamai dengan duit bermaksud mengenali titik “cukup”.

Rasa cukup bukanlah noktah untuk kita berhenti berusaha. Sebaliknya, ia adalah noktah kepada perlumbaan yang tidak berkesudahan di dalam hati.

Ia menjadi suatu isyarat bahawa kita mula berdamai dengan duit dan belajar menghargai apa yang telah diberikan.

  • Ia membantu meletakkan kehendak pada tempat sepatutnya.
  • Ia meneutralkan hati dari perbandingan yang mengganggu jiwa.
  • Ia meredakan kegusaran terhadap perkara yang belum pasti berlaku.
  • Ia membersihkan pemikiran daripada menjadikan duit sebagai ukuran nilai diri.

Kesimpulan:

Bagi yang mula tersedar, jangan bimbang.

Belum terlambat untuk bertindak.

Bahkan, seandainya kita sedang terikat dengan beban hutang sekalipun, kita masih boleh memutuskan hubungan yang tidak sihat dengan duit pada bila-bila masa, sambil terus menunaikan tanggungjawab yang perlu diselesaikan.

Kita tidak perlu meninggalkan apa yang sudah dimiliki untuk memulakan kehidupan yang baharu. Sebaliknya, kita hanya sedang membina sesuatu yang lebih baik.

Mulai saat ini, kita mula melihat duit pada tempat yang sepatutnya.

Kita lebih yakin kepada diri sendiri dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada duit untuk menentukan nilai diri atau ketenangan hidup.

Biarpun sedikit, mudah-mudahan ia tetap mencukupi. Jika dianugerahkan rezeki yang banyak, juga tidak perlu risau.

Tidak salah memiliki harta dan duit yang banyak.

Yang penting, kita mula menyedari bahawa duit bukanlah tuan kita. Kitalah yang menguruskannya.

Maka urus dan aturlah dengan sebaiknya.

Gunakan ia sebagai alat untuk menjalani kehidupan, bukan sebagai sesuatu yang membelenggu jiwa.

Mudah-mudahan kita tidak lalai daripada perkara yang lebih penting dalam hidup sehingga kehilangan ketenangan yang sedang dicari.

Kerana dalam banyak keadaan, ketenangan bukan datang apabila kita memiliki segalanya, tetapi apabila kita belajar mencukupkan apa yang ada.

Sesungguhnya, masalah bukan pada duit yang sedikit atau banyak. Masalah bermula apabila ketenangan hidup bergantung sepenuhnya kepada jumlah duit yang dimiliki.

Senirahsia mengingatkan, seni berdamai dengan duit bukanlah tentang berhenti mencari rezeki.

Ia adalah tentang meletakkan duit pada tempat yang betul, agar apa yang bertambah di tangan tidak menyebabkan sesuatu yang lebih berharga semakin berkurang di dalam jiwa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *